Sudah Setahun Arash Mohamad Menduda
Bekas isteri kepada pelakon Arash Mohamad, Noor Afidahwati Mohammad, mengejutkan ramai apabila mendedahkan rumah tangganya bersama aktor tersebut telah berakhir sejak setahun lalu.
Menurut Afidahwati, 43, tindakan dia memaklumkan berita itu di Instagram bukan bertujuan untuk meraih perhatian atau simpati, tetapi bagi mengelakkan salah faham dan spekulasi yang mungkin timbul mengenai status hubungan mereka.
“Bismillahirrahmanirrahim. Tujuan saya berkongsi perkara ini hanyalah untuk menjernihkan keadaan dan mengelakkan fitnah.
“Sudah genap setahun kisah 17 tahun kami berakhir dengan lafaz yang sah,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.
Katanya lagi, keputusan untuk berpisah dibuat dengan penuh pertimbangan dan tanpa rasa marah, sebaliknya diterima dengan hati yang reda selepas menempuh pelbagai dugaan sepanjang perkahwinan.
“Kami kini bukan lagi suami isteri, hanya dua insan yang pernah berkongsi perjalanan panjang sebelum memilih haluan masing-masing.
“Semoga ketenangan dan doa yang baik sentiasa mengiringi hidup kami,” ujarnya lagi penuh reda.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang memuji ketenangan serta kematangan Afidahwati dalam menyampaikan berita berkenaan.
Untuk info, Afidahwati dan Arash mendirikan rumah tangga kira-kira 17 tahun lalu, namun sepanjang tempoh tersebut, pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata.
