Aura magis Dream Theater
KUALA LUMPUR: Tiada yang berubah apabila memperkatakan mengenai kumpulan yang terkenal dengan genre muzik progresif metal iaitu Dream Theater.
Sejak ditubuhkan pada 1985 dan menghasilkan 15 album studio, stail muzik yang diperjuangkan terus kekal meskipun anggotanya bertukar.
Kemantapan persembahan terutama dari segi bunyi untuk setiap lagu dihasilkan cukup padu dan itulah yang menjadi tanda dagang Dream Theater sepanjang hampir empat dekad berada dalam dunia showbiz.
Ketika menjayakan konsert jelajah mereka, Top Of The World di Zepp Kuala Lumpur anjuran Shiraz Projects, baru-baru ini kelebihan itulah yang disajikan kepada peminat.
Menerusi karya dihasilkan, penonton diajak merasai pengalaman berada dalam alam muzik yang sarat dengan sorotan isu sosial dan perubahan era budaya pop.
Lebih menarik, persembahan band dari Boston, Amerika Syarikat yang dianggotai James LaBrie (vokalis), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) itu turut memukau penonton dengan paparan visual serta imej yang diambil dari pembikinan album studio ke-15 berjudul A View From The Top Of The World yang dilancarkan, dua tahun lalu.
Tirai persembahan dibuka dengan lagu yang pernah memenangi anugerah Grammy iaitu The Alien.
Tiga lagu lain yang turut dinyanyikan adalah Sleeping Giant, Answering The Call dan lagu yang menjadi judul album terakhir yang berdurasi lebih 20 minit.
Penonton turut dihiburkan dengan lagu yang dipetik dari album terdahulu seperti 6.00, Caught in a Web, Bridges in the Sky, Solitary Shell, About to Crash, Losing Time/Grand Final dan Pull Me Under, sebelum menutup tirai konsert berdurasi dua jam itu dengan lagu The Count of Tuscany yang dipetik dari album Black Clouds & Silver Linings.
Meskipun vokal LaBrie tidaklah sehebat vokalis rock atau metal lain, seperkara yang cukup membuat penonton kagum dengan penyanyi berusia 60 tahun itu adalah stamina yang dimilikinya.
Pada usia emas itu, LaBie masih boleh menyanyi dengan nada tinggi dan cukup agresif atas pentas apabila berlari ke sana sini mengikut alunan muzik dimainkan.
Satu perkara lagi yang tak perlu disangkal adalah kehebatan pemuzik band terbabit kerana melengkapi antara satu sama lain dengan bakat dan kepakaran.
Justeru, tidak hairanlah andai band itu dianggap sebagai ‘Raja’ progresif metal antarabangsa.