Biduanita negara mendedahkan perhiasan kepala yang digayakannya sewaktu Konsert Violet Skies di Genting Highland tempoh hari dibeli di kedai TikTok.
Siti berkata, sungguhpun murah, perhiasan kepala yang digayakan itu disifatkan sebagai cantik dan sesuai untuk dipakai.
“Saya ada beli headpiece dekat TikTok… Yang tu menarik juga. Yang saya pakai masa konsert tu kan, segmen terakhir hari pertama.
“Macam tinggi sikit ada bulu-bulu terkeluar… Saya beli di TikTok. Murah gila, tapi cantik, saya suka,” katanya.
Meninjau platform X, ada peminat yang berjaya menemukan perhiasan kepala berkenaan dan berkongsi pautan ke kedai yang dimaksudkan.
Perhiasan kepala itu berharga RM24.02 untuk satu unit.
Antara komen yang ditinggalkan netizen termasuklah jangkaan jualan perhiasan kepala itu meningkat selepas Siti mendedahkan di mana beliau mendapatkannya untuk dipakai ketika melangsungkan konsert.
Untuk rekod, Siti menggayakan perhiasan kepala tersebut dengan busana rekaan Ashraff Zainal.