Global

Siasatan Bang Si Hyuk Hampir Tamat, Polis Pertimbang Waran Tangkap

Siasatan berpanjangan terhadap pengerusi HYBE, Bang Si Hyuk, kini semakin menghampiri titik penentuan.

Menurut pihak polis Seoul, kes yang berpusat kepada dakwaan perdagangan tidak adil secara penipuan itu kini telah memasuki peringkat akhir.

Pihak berkuasa mendedahkan semakan undang-undang hampir selesai, sekali gus memberi bayangan bahawa keputusan mungkin akan dibuat dalam masa terdekat.

Pesuruhjaya Park berkata: “Semakan undang-undang hampir lengkap. Kami percaya keputusan boleh dicapai dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan memohon waran tangkap, beliau menjawab: “Perkara itu juga sedang diteliti,” katanya lagi.

Bang Si Hyuk telah disiasat selama lebih setahun. Sepanjang tempoh tersebut, dia telah dipanggil untuk disoal siasat sebanyak lima kali sebagai suspek. Polis menjalankan beberapa serbuan, termasuk di ibu pejabat HYBE serta Korea Exchange, bagi mengumpul bukti berkaitan proses penyenaraian awam (IPO) syarikat itu.

Teras utama kes ini melibatkan dakwaan bahawa Bang mengelirukan pemegang saham sedia ada pada tahun 2019.

Penyiasat percaya dia mungkin memberi gambaran penyenaraian HYBE akan ditangguhkan, walaupun persiapan dalaman sebenarnya sedang berjalan.

Tindakan tersebut didakwa membolehkannya membeli saham pada harga lebih rendah, sekali gus meraih keuntungan sekitar 190 bilion won (RM507 juta).

Selain itu, terdapat juga syak wasangka melibatkan sebuah dana ekuiti persendirian yang dikaitkan dengan individu dalam HYBE. Bang didakwa menggalakkan pemegang saham menjual pegangan mereka kepada sebuah syarikat tujuan khas yang berkait dengan dana tersebut.

Ketika ini, polis dilaporkan sedang menilai sama ada untuk memohon waran tangkap, selain membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut.

Related Articles

Back to top button