Retrospektif Bagai Mengembalikan Semula Afgan Yang Dulu

Retrospektif Bagai Mengembalikan Semula Afgan Yang Dulu

Selepas tujuh tahun tidak muncul dengan album penuh berbahasa Indonesia, penyanyi tersohor Afgan kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Retrospektif.

Album ketujuh ini menjadi penanda penting dalam perjalanan seni dan peribadinya, menampilkan refleksi mendalam mengenai proses jatuh bangun serta bagaimana beliau menemukan semula suara paling jujur dalam dirinya.

Karya ini turut menandai kepulangan Afgan ke akar muzik pop Indonesia yang membentuk identitinya sebagai seorang artis.

Menurut Afgan, Retrospektif hadir sebagai ruang renungan peribadi, di mana Afgan menulis dan merakam lagu-lagunya dengan pendekatan yang lebih intim dan telus.

“Album ini bukan sekadar menoleh ke masa lalu, tetapi menjadi cara memahami perjalanan yang membentuk diri dari aspek kehidupan mahupun pengalaman muzik.

“Selepas bertahun-tahun bereksperimen, saya ingin kembali ke akar yang pernah mendewasakan saya. Tapi kali ini dengan hati yang lebih matang, jujur dan sedia berbagi cerita,” katanya.

Album yang memuatkan sepuluh lagu ini menampilkan elemen pop dan R&B yang menjadi identiti Afgan, namun disampaikan melalui produksi yang lebih organik dan hangat.

Proses pembikinannya turut membabitkan barisan komposer terkemuka seperti Petra Sihombing, Muhammad Kamga, Iqbal Siregar, Bilal Indrajaya dan Rendy Pandugo.

Album ini bagaikan mengembalikan Afgan yang dahulu.

Majoriti produksi album diterajui Petra Sihombing, manakala dua lagu lain diterbitkan oleh Gerald Situmorang dan Rendy Pandugo.

Sebagai penerbit, Petra Sihombing menyaksikan sendiri bagaimana Afgan melalui proses pencarian kreatif sepanjang penghasilan album ini.

Menurutnya, Afgan hadir tanpa perancangan besar, namun secara perlahan menemukan arah dan bahasa muzik yang ingin disampaikan.

“Saya menyaksikan seseorang melewati proses pencarian itu adalah perkara yang sangat indah. Tenaga itu yang buat album ini berasa sangat peribadi kerana kita tidak tunggu inspirasi datang, tapi mencarinya bersama,” jelas Petra.

Menariknya, semua penerbit yang terbabit dalam album ini ialah pemain gitar. Pemilihan itu memberikan dimensi berbeza berbanding karya Afgan sebelum ini yang mana lebih organik, ‘earthy’, maskulin dan dekat dengan nuansa akustik sekali gus jauh daripada gaya balada yang sinonim dengan dirinya.

Hasilnya, Retrospektif tampil segar namun tetap dekat di hati pendengar, ibarat sebuah perbualan peribadi antara artis dan peminat.

Single pertama “Kacamata” yang dilancarkan lebih awal, membuka jalan kepada pendengar untuk memasuki dunia Retrospektif. Lagu ini menerima sambutan hangat dengan mencatat lebih 4 juta penstriman dalam tempoh kurang sebulan.

“Kacamata” membawa mesej bahawa mengalah bukan bererti kalah iaitu sebuah cara lain untuk mencintai meskipun akhirnya terpaksa melepaskan.

Dalam album ini, Afgan membuka perjalanan hidupnya dengan kehangatan dan penerimaan. Lagu “Misteri Dunia” menjadi pembuka bermakna, menggambarkan bagaimana luka tidak semestinya menjadi penamat, tetapi pintu menuju cahaya.

Afgan bersyukur apabila lagu Kacamata yang termuat di dalam anion ini diterima baik pendengar.

Lagu “Sebentar” pula menyingkap rasa kehilangan dan usaha melepaskan dalam diam, mengakui bahawa takdir tetap berjalan walau sekuat mana kita berpegang.

“Silakan” menyampaikan ketenangan yang hadir daripada keberanian memilih damai, termasuk melepaskan hubungan yang memenatkan.

Sisi paling peribadi Afgan terserlah menerusi “Peluk”, yang menyentuh paradoks seorang figura yang diraikan, namun sering merasa sendiri. Lagu ini mengingatkan bahawa hati manusia kadang kala cuma memerlukan satu pelukan.

Dalam “Sampai Jumpa”, Afgan menggambarkan perpisahan melalui lensa penuh harapan, mempercayai bahawa semesta terkadang memisahkan dua jiwa agar kelak mereka lebih menghargai satu sama lain.

“Tak Ada Rencana” hadir dengan nada ringan, mengangkat kisah cinta yang datang tanpa amaran yang menjadi pengingat bahawa keindahan sering muncul secara tidak dijangka.

Menerusi “Kepastian”, Afgan menonjolkan sisi optimis, berbicara mengenai keyakinan menunggu sesuatu yang benar-benar berharga. Sementara itu, “The One That Got Away” membawa suasana melankolik lembut, mengisahkan kesedaran yang hadir terlalu lewat, bahawa kita kadang kala hanya memahami nilai seseorang setelah kehilangannya.

Secara keseluruhan, Retrospektif adalah potret kematangan Afgan sebagai pemuzik dan insan. Album ini bukan mengenai nostalgia, tetapi penerimaan dan penghargaan terhadap perjalanan hidup.

“Saya ingin orang yang mendengar album ini berasa ditemani. Buat saya, Retrospektif adalah perjalanan pulang ke tempat di mana saya pertama kali menemukan makna muzik dan jujur sama diri sendiri,” kata Afgan.

Retrospektif kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 19 November 2025, membawa pendengar menyelami kisah perjalanan, kehilangan dan ketulusan yang menjadi inti karya seorang Afgan.

Related post

Leave a Reply