Remy Ishak Amal Mandi Air Garam Untuk Buang Aura Negatif

Remy Ishak Amal Mandi Air Garam Untuk Buang Aura Negatif

Pelakon, Datuk Remy Ishak, 43, mendedahkan dirinya mengamalkan mandi air garam sebagai kaedah menyingkirkan aura negatif dan menenangkan diri.

Pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, berkata, amalan itu sudah lama dipraktikkan kerana memberi kesan cukup baik terhadap emosi dan kesejahteraan dirinya.

Menurut Remy, garam mempunyai manfaat tersendiri sama ada dari sudut tradisional mahupun sokongan saintifik.

“Berdasarkan pengalaman, kita memang boleh terkena penyakit ain bila muncul di khalayak atau bekerja dalam dunia luar.

“Secara saintifik, garam membantu mengurangkan ion negatif dalam badan, sama ada melalui minuman atau mandi. Mineral garam memang diperlukan tubuh dan perkara itu terbukti,” katanya.

Remy berkata, amalan mandi air garam biasanya dilakukan mengikut keperluannya, terutama apabila tekanan kerja atau masalah peribadi mula menjejaskan emosi.

“Saya akan mandi garam bila rasa stres. Kadang-kadang komen atau andaian negatif di media sosial pun boleh buat kita serap energi yang tidak baik.

“Tiba-tiba badan rasa tak selesa, emosi berubah atau mudah marah, itu petanda ada sesuatu yang tak kena. Cara paling berkesan bagi saya adalah mandi garam.

“Saya tak tahu orang lain bagaimana, tapi untuk saya memang membantu menenangkan. Lain orang lain cara, ada yang makan panadol pun rasa lega. Tapi untuk saya, memang terbukti berkesan,” ujarnya lagi.

Mengenai bagaimana kaedah itu dipelajari, Remy menjelaskan ia diberikan oleh pakar ketika dirinya melalui episod kemurungan sewaktu pandemik Covid-19.

“Pada waktu pandemik, saya pernah alami kemurungan dan berjumpa pakar psikiatri serta psikologi. Dari situlah saya mendapat tip ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply