Rampas Takhta Kim Soo Hyun, Park Hyung Sik Kini Pelakon Termahal Korea Selatan
KETIKA satu dunia sedang kecoh mengenai kontroversi yang melanda Kim Soo Hyun, aktor Park Hyung Sik dikhabarkan kini bergelar pelakon dengan bayaran tertinggi di Korea.
Menerusi laporan media, Hyung Sik difahamkan menerima bayaran sebanyak 500 juta KRW (RM1.5 juta) bagi setiap episod untuk wataknya dalam siri Doctor Slump.
Difahamkan juga, Hyung Sik bakal menerima bayaran sekitar 8 bilion KRW (RM24.1 juta) untuk 16 episod bagi keseluruhan siri berkenaan, selain penglibatannya dalam Buried Hearts yang dikatakan bakal meningkatkan pendapatannya dengan lebih tinggi.
Sebelum ini, Soo Hyun menerima bayaran yang sama untuk lakonannya menerusi It’s Okay To Not Be Okay dan One Ordinary Day.
Hyung Sik yang sebelum ini menganggotai kumpulan ZE:A terus melakar kejayaan dengan membintangi beberapa siri popular seperti Happiness, The Heirs dan Strong Girl Bong Soon. Jumlah pengikut di Instagramnya juga sudah mencecah 13.1 juta orang.
Sebaliknya, karier Soo Hyun dilihat kini jatuh merudum setelah terlibat dengan kontroversi bersama mendiang Kim Sae Ron, yang meninggal dunia pada usia 24 tahun baru-baru ini.
Pihak keluarga mendiang mendesak tindakan undang-undang dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu tentangnya, yang didakwa menyumbang kepada tekanan mentalnya.
Dalam masa sama, Soo Hyun didakwa cuba menjauhkan diri daripada kontroversi tersebut, tetapi keluarga mendiang Sae Ron terus mendesak Soo Hyun mengakui hubungan masa lalu mereka bagi membidas perspektif negatif yang tercetus.
Sumber: Kimchidaily