Seorang wanita menzahirkan rasa kecewa kerana sering dilabel sebagai mak cik oleh rakan sekerjanya yang masih muda gara-gara tidak mengikuti perkembangan trend semasa.
Menerusi hantaran yang dibuat di Facebook, wanita itu mendakwa yang dia pernah dihina kerana masih menggunakan telefon pintar dengan sistem operasi Android.
Dia juga mendakwa yang dia diketawakan oleh mereka kerana teman lelakinya memandu Perodua Axia.
Dalam masa sama, rakan sekerjanya turut melabel teman lelakinya sebagai gemuk, dengan ketinggian 180 sentimeter dan berat 100 kilogram.
Terbaharu, dia dikecam kerana tidak tahu tentang trend mengumpul patung Labubu.
“Sungguhpun saya tidak tertarik dengan mainan viral dan selebriti terkemuka, ia tidak bermaksud saya seorang yang ketinggalan zaman,” katanya.
Meninjau ruangan komen, ramai yang memberikan sokongan kepada wanita itu. Namun ada juga yang memberi pendapat berbeza.
“Kalau nilai diri awak tak sama dengan dia, jangan dekati dia. Anggap dia tak ada.”
“Kenapa ambil kisah tentang apa yang dia fikir? Kamu hidup dengan cara kamu. Jangan bandingkan level kami dengan seseorang yang berbeza tarafnya.”
“Kita pun pernah mengata generasi 90an. Sekarang kita alami hal yang sama dengan generasi muda.”
Sumber: Weirdkaya