Putera Mateen Bakal Timang Cahaya Mata Sulung

Putera Mateen Bakal Timang Cahaya Mata Sulung

Putera Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen berkongsi berita gembira bahawa baginda dan isteri, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran di Instagram rasmi Putera Mateen yang memaparkan foto hitam putih pasangan diraja itu berdiri di balkoni sambil berpegangan tangan.

Dalam gambar itu, Puteri Anisha kelihatan anggun dalam gaun labuh putih sambil tangannya diletakkan di atas perut yang mulai menonjol.

“And then there were 3,” tulis Putera Mateen ringkas di ruangan kapsyen.

Walaupun tarikh kelahiran masih belum diumumkan, pasangan diraja berkenaan dijangka menyambut ulang tahun perkahwinan kedua mereka pada Januari tahun depan.

Putera Mateen, 34, dan Puteri Anisha, 30, melangsungkan perkahwinan diraja penuh adat istiadat selama 10 hari pada Januari 2024 dengan kemuncak majlis berlangsung di Istana Nurul Iman. kediaman rasmi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan.

Majlis bersejarah itu turut dihadiri Raja-Raja Melayu serta pemimpin negara serantau.

Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat kepada Sultan Hassanal Bolkiah bersama bekas isteri baginda, Hajah Mariam Abdul Aziz.

Baginda menerima pendidikan awal di Brunei sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang politik antarabangsa di King’s College London, diikuti ijazah sarjana di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Sebelum mendirikan rumah tangga, Putera Mateen dikenali sebagai salah seorang putera diraja paling menjadi perhatian dunia kerana personalitinya yang karismatik serta aktif dalam bidang ketenteraan dan sukan polo.

Puteri Anisha pula dilahirkan di London dan merupakan seorang usahawan yang mengusahakan perniagaan pakaian sutera serta agensi pelancongan mewah.

Pasangan ini dikatakan mula berkenalan sejak tahun 2018 namun memilih untuk tidak mendedahkan hubungan mereka kepada umum sehinggalah menjelang perkahwinan.

Related post

Leave a Reply