Proses JKP Gagal, Kes Cerai Nora Ariffin Ke Proses Hakam

Kemelut rumah tangga penyanyi, Datuk Nora Ariffin dan suaminya, Dr. Rushdi Ramli masih di jalan buntu apabila proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat.

Menurut Nora, meskipun dia telah menunaikan semua permintaan suami, namun Dr. Rushdi kekal enggan menceraikannya, sekali gus memaksa kes diteruskan ke peringkat hakam.

“Saya dah buat apa yang perlu dan tunaikan segala permintaannya, tapi malangnya kuasa talak bukan di tangan wanita.

“Jadi kes ini akan diteruskan ke proses hakam kerana dia tetap bertegas tidak mahu melepaskan saya,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Dalam pada itu, Nora meluahkan keinginan untuk segera keluar daripada konflik yang disifatkannya sebagai lingkungan toksik dan enggan lagi terlibat dalam drama yang melibatkan keluarga madu.

“Kalau masih ada pihak nak berhujah, silalah berhujah dengan isteri pertama.

“Saya tak mahu masuk campur. Kalau boleh, saya mahu segera keluar dari situasi yang meracuni emosi dan jiwa saya,” katanya.

Bercerita lanjut, ibu empat anak ini turut menegaskan bahawa dia tidak akan menarik balik permohonan cerai yang difailkan pada 21 April lalu.

“Saya tetap dengan keputusan saya. Tiada sebab untuk saya berpatah balik,” ujarnya ringkas.

Ketika ditanya mengenai isu nafkah, Nora memilih untuk tidak mengulas lanjut.

Sementara itu, sebutan kes bagi proses hakam telah ditetapkan pada 3 September depan.

Imbas kembali, Nora dan Dr. Rushdi, yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaya, bernikah secara tertutup pada akhir 2021.

Pada Ogos 2023, rumah tangga mereka mula menjadi perhatian selepas Nora memuat naik video di Instagram suaminya melafazkan cerai.

Bagaimanapun, pasangan itu kemudiannya rujuk semula, namun konflik berterusan, dipercayai akibat campur tangan pihak luar.

Terdahulu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer ternama, Allahyarham Johan Nawawi, yang meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung.

Foto Utusan Malaysia

Related post

Leave a Reply