Pelajar Sekolah Menengah Mengeluh Tak Dapat Subsidi BUDI95 Kerana Tiada Lesen Memandu

Pelajar Sekolah Menengah Mengeluh Tak Dapat Subsidi BUDI95 Kerana Tiada Lesen Memandu

Perdebatan mengenai subsidi petrol bersasar BUDI95 kini memasuki bab baharu. Kali ini melibatkan pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal ke sekolah.

Seorang guru baru-baru ini berkongsi di platform Threads mengai pelajarnya yang berasa tidak puas hati kerana perlu membayar harga penuh RM2.60 seliter bagi petrol RON95 disebabkan mereka tidak layak menerima subsidi tersebut.

Puncanya? Kebanyakan daripada mereka tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Sebagai guru sekolah menengah, saya sering dengar rungutan daripada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah. Mereka kena bayar RM2.60 seliter untuk petrol. Ramai rupanya tak ada lesen.

“Patutlah ramai marah dengan BUDI95. Salah satu isunya ialah pelajar ada motosikal, tapi tak ada lesen,” tulis guru tersebut.

Guru berkenaan turut menambah bahawa ramai antara pelajarnya sudah membelanjakan ratusan ringgit untuk mengubah suai motosikal masing-masing.

“Motosikal mereka siap ubah suai habis ratus-ratus, tapi minyak pun tak mampu isi. Bayangkan rugi lebih RM2 setiap kali isi penuh Honda Wave kalau tak layak dapat BUDI95,” katanya lagi.

Pendedahan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang ketawa, ada juga yang menganggap perkara itu wajar dijadikan pengajaran kepada para pelajar.

“Padan muka. Dari kecil mak ayah dah bagi bawa motor tanpa lesen. Bila jadi apa-apa, orang lain yang susah,” komen seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi menulis: Ada duit nak ubah suai motor, tapi tak ada duit nak ambil lesen? Dah boleh simpan untuk modification, kenapa tak simpan untuk lesen juga?”

Malah, ada yang berseloroh mencadangkan agar harga petrol dinaikkan kepada RM5 seliter bagi mereka yang menunggang tanpa lesen.

Related post

Leave a Reply