Nora Danish Berdoa Di Makkah Minta Jodoh Yang Baik

Meskipun sudah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga, pelakon, Nora Danish, 43, tidak berasa serik mahupun trauma untuk berkahwin lagi.

Nora atau nama lengkap Nora Danish Mohd Haniff, mengakui belum tertutup pintu hatinya untuk membina mahligai dengan mana-mana lelaki.

“Semua orang ingin berumah tangga, siapa sahaja yang tak mahu kahwin, kan? Saya mahu kahwin dan tidak pernah putus harapan atau fobia dengan dua perkahwinan yang sebelum ini.

“Sewaktu menunaikan umrah Februari lalu, saya ada berdoa di Makkah supaya ditemukan dengan insan yang baik,” katanya ketika ditemui di sidang media, baru-baru ini.

Mengakui diri tidak sempurna, Nora bagaimanapun memberitahu, dia belum mempunyai sebarang calon kerana fokusnya kini ingin memperbaiki diri ke arah kebaikan.

“Tetapi, apa pun biarlah saya perbaiki diri ini dahulu sebelum bertemu jodoh. Saya aminkan sahaja doa-doa baik daripada semua.

“Saya ini tidak sempurna, tapi apabila sudah faham agama tentu mahu seorang yang baik dan mampu bimbing ke arah kebaikan. Tapi sampai sekarang, belum ada calon,” katanya lagi.

Nora sering meminta agar dijodohkan dengan lelaki yang baik.

Berkongsi lanjut, pelakon yang popular menerusi drama ‘Puteri’ itu berkata, dia sering menjadi bahan usikan rakan-rakan setiap kali menghadiri kelas agama.

“Bila single, pergi kelas agama ada sahaja yang suka mengusik. Kalau ada ustaz bujang, mesti ada yang cuba ‘kenen-kenenkan’.

“Tapi saya tak terasa pun. Mungkin sebab dah biasa dengan gurauan orang. Kalau perkara baik, saya terima dengan hati terbuka,” tambah Nora.

Imbas kembali, Nora mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Nedim Mohamad Nazri, namun bercerai pada Jun tahun lalu selepas tujuh tahun hidup bersama. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 16.

Related post

Leave a Reply