Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, tampil memperjuangkan hak yang sepatutnya disalurkan kepada waris arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi berhubung isu bayaran royalti lagu-lagu ciptaannya, khususnya karya ikonik berjudul Sinaran.
Dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) pada Rabu, Nora menegaskan bahawa perjuangannya bukan bersifat peribadi, tetapi demi memastikan hak anak-anak arwah terjamin.
“Saya tak kisah royalti tu banyak atau sikit, tapi saya nak tahu laporan penuh. Ini bukan untuk saya, ini untuk anak-anak. Bila arwah dah tak ada, saya yang perlu ambil alih semua ini,” katanya.
Menurut Nora, pihak MACP telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus, namun terdapat beberapa syarikat penerbitan yang masih tidak memberi laporan atau bayaran yang sepatutnya diterima.
“Sampai sekarang saya tak pernah dapat laporan rasmi daripada syarikat penerbitan. Kalau tak mampu uruskan hal hak cipta, jangan jadi syarikat penerbitan. Kita serah tanggungjawab pada mereka untuk urus dan promosikan lagu,” ujarnya tegas.
Terdahulu, Nora mendakwa nilai royalti yang sepatutnya diterima hasil lebih 200 karya arwah suaminya sepanjang hayat sepatutnya mencecah RM1 juta, namun hanya RM60 yang diterima setakat ini.
“Lagu Sinaran masih dimainkan di mana-mana sampai hari ni. Lagu ini bukan lagu kecil. Tapi macam tak ada siapa ambil peduli. Adakah hak pencipta hanya dijaga masa mereka hidup sahaja?” luahnya dalam nada sedih.
Dalam pada itu, Nora turut menafikan dakwaan kononnya dia sengaja membangkitkan isu ini untuk mengganggu konsert penyanyi legenda Datuk Sheila Majid yang sinonim dengan lagu Sinaran.
“Sejujurnya saya sangat menghormati Sheila. Isu ini dah lama dibangkitkan. Saya cuma terdetik masa pergi konsert itu dan lagu terakhir adalah Sinaran. Tak ada niat nak keruhkan apa-apa.”
Sementara itu, anak sulung kepada Nora, Syakir Iman turut menyatakan tuntutan ini telah dimulakan sejak tahun 2021, namun sehingga kini masih tiada penyelesaian.
“Kami mahu selesaikan secara baik, tapi kalau masih tiada jalan penyelesaian, kami tidak akan teragak-agak untuk bawa ke muka pengadilan,” katanya.