
Nora Ariffin, Rossa ‘Berdamai’ Isu Rakam Lagu Sinaran
Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 52, meluahkan rasa terharu selepas dihubungi penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa yang tampil menjelaskan mengenai isu rakaman semula lagu popular, Sinaran.
Menurut Nora, tindakan Rossa menghubunginya secara peribadi menunjukkan keprihatinan dan rasa hormat terhadap isu hak cipta serta royalti yang diperjuangkannya selama ini.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan amat menghargai usaha Rossa. Beliau hubungi saya sendiri untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan lagu Sinaran.
“Sebagai rakan seindustri, saya hormat kejujuran dan keprihatinannya. Rossa faham kedudukan isu ini dan berharap agar saya mendapat hak sewajarnya. Terima kasih kepada Rossa atas keikhlasannya,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.
Sebelum ini, Nora menzahirkan rasa terkilan di media sosial apabila lagu Sinaran ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi bersama komposer tersohor Allahyarham Adnan Abu Hassan dirakam semula tanpa pengetahuannya.
Lagu tersebut turut dimuatkan dalam mini album (EP) terbaharu Rossa berjudul Asmara Dansa.
Dalam hantaran itu, Nora mempersoalkan pihak yang memberi kebenaran menggunakan lagu berkenaan serta menjelaskan dia telah membuat semakan dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
“Sebagai pewaris, saya hanya mahu tahu siapa yang beri izin guna lagu ini. Saya hubungi MACP, mereka maklumkan bayaran sudah dibuat kepada pihak penerbit, namun perkara itu masih tergantung,” tulisnya.
Nora dalam masa sama menegaskan isu royalti bukan perkara remeh kerana melibatkan hak karyawan seni dan keluarga mereka selepas meninggal dunia.
“Ramai penggiat seni tiada caruman KWSP atau pencen. Royalti itulah sumber rezeki mereka dan waris yang ditinggalkan. Bila arwah sudah tiada, anak-anak yatim itu berhak mendapat bahagian mereka.
“Jangan pandang ringan atau ambil mudah soal hak ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Rossa memuat naik video ‘teaser’ untuk EP Asmara Dansa yang menampilkan versi baharu lagu Sinaran bersama penyanyi rap tempatan, MK K-Clique.