Noki Menyesal Ponteng Sekolah, Jiwa Kuat Memberontak Di Usia Remaja
Penyanyi dan pelakon, Noki, 31, mengakui pernah melalui fasa gelap ketika zaman persekolahannya apabila sikap memberontak sejak kecil menyebabkan dirinya tidak sempat merasai keseronokkan sebagai pelajar.
Pemilik nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, berkata semuanya bermula sewaktu di sekolah rendah selepas melalui satu insiden yang memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
“Saya mula memberontak selepas dituduh melakukan kesalahan yang bukan saya buat. Ketika darjah enam, ada satu radio rosak dan saya yang dipersalahkan.
“Masa itu saya menangis sebab rasa tak adil. Sejak kejadian itu, saya mula melawan dan berubah jadi pelajar yang nakal,” katanya.
Anggota kumpulan K-Clique itu berkata, dia hanya bersekolah hingga Tingkatan Dua dan tidak sempat menikmati detik manis seperti rakan sebaya lain yang meraikan tamat zaman persekolahan.
“Bila fikir balik, memang saya kesal sebab tak dapat rasai momen indah zaman sekolah. Saya tak pernah lalui detik pelajar SPM yang seronok menandatangani baju atau bergambar bersama rakan sekelas. Saya hanya ada sijil UPSR sahaja,” ujarnya.
Noki turut berkongsi kehidupannya selepas berhenti sekolah menjadi titik tolak untuk dia memahami erti sebenar kehidupan.
“Saya banyak belajar di jalanan, bukan sesuatu yang patut dibanggakan, tapi ia mendewasakan saya. Saya sedar ilmu tetap penting sebab Islam sendiri menuntut kita untuk terus menimba ilmu,” katanya lagi.
Mengimbas kembali fasa sukar selepas meninggalkan sekolah, Noki mengakui pernah ‘merempat’ dan hidup tanpa hala tuju selepas memilih untuk berdikari.
“Ibu bapa mana yang tak marah bila anak mereka berhenti sekolah. Masa itu saya muda, degil dan fikir nak hidup sendiri. Pernah tidur di siber kafe, minta makanan di kedai makan dan tak balik rumah berhari-hari.
“Bila fikir semula, memang rasa kesal sebab kecewakan mak ayah. Tapi saya kongsi kisah ini bukan untuk dibanggakan, sebaliknya sebagai pengajaran,” luahnya.
Kini, Noki bersyukur kerana semakin matang dan berusaha memperbaiki diri hasil daripada pengalaman hidup yang banyak mengajarnya tentang nilai syukur dan erti perubahan sebenar.
