
Niena Baharun Bersyukur Dapat Mentua Baik, 7 Tahun Tinggal Serumah Tanpa Masalah
Pelakon, Datin Niena Baharun, 32, mengakui kehidupannya selepas berkahwin lebih indah apabila menetap bersama mentua sejak tujuh tahun lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Amaniena Kamarul Baharun, layanan baik daripada ibu dan bapa mentua membuatkan dirinya terasa seolah-olah berada dalam keluarga sendiri.
“Mereka jaga saya macam anak kandung. Kalau ada masalah pun boleh kongsi, mereka sangat memahami.
“Saya dah tinggal dengan mak mentua lebih kurang tujuh tahun dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Tambah aktres itu, dia percaya keharmonian rumah tangga datang daripada sikap hormat serta kemampuan menyesuaikan diri dengan cara keluarga mentua.
“Saya pun bukannya menantu sempurna, tapi saya menantu pertama yang tinggal bersama mereka. Menantu lain pun ada sama di rumah itu.
“Prinsip saya mudah, bila kita masuk rumah orang, ikutlah cara mereka. Itu tanda hormat,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Niena menafikan dakwaan kononnya suaminya menjadi punca dia berhenti berlakon.
Sebaliknya, dia sendiri yang memilih untuk berehat daripada dunia seni selama dua tahun.
“Keputusan itu datang dari diri saya sendiri, bukan sebab larangan sesiapa,” ujarnya.
Niena mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Datuk Aliff Firdaus pada 1 Februari 2018. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Adiel Mikael, 7, dan Alyssa Marissa, 5.