Menang Juara Lagu, Marsha luah perasaan
PERJALANAN dua dekad dalam industri bukan satu tempoh masa yang pendek. Namun penantian selama 20 tahun akhirnya membuahkan hasil apabila Masha Milan berjaya merangkul Juara Lagu sempena Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung pada Ahad.
Kemenangan kali pertama menggenggam trofi teratas yang menjadi rebutan penyanyi dan pencipta sejak empat dekad lalu memberikan seribu kemanisan dalam kerjayanya sebagai anak seni.
“Trofi kemenangan ini sangat bermakna sebab saya sudah 20 tahun dalam industri membina nama. Ramai sudah menyaksikan kesukaran saya dalam industri dan kemenangan saya kecapi ini besar maknanya,” katanya.
Menyelusuri kembali perjalanan seninya, banyak sebenar harapan disandarkan oleh anak kelahiran Sabah yang dicungkil bakatnya melalui Akademi Fantasi musim ketiga ini untuk menamatkan nama di tempat tertinggi.

Pelbagai ujian telah dilalui, pelbagai rintangan telah dilepasi sehinggalah ke saat ini. Semuanya kekal sebagai sejarah yang banyak mendewasakan wanita berusia 40 tahun ini.
Sementelah ramai yang meletakkan harapan untuk Hening Rindu mempunyai tempat dalam AJL39, dia pula hanya mampu berdoa sebelum memulakan pertandingan.
“Sejujurnya saya tidak meletakkan apa-apa harapan tetapi jauh di sudut hati alangkah seronoknya kalau saya menang”.
“Apabila lagu tersebut diumumkan sebagai juara, saya memang tak sangka. Semuanya telah tertulis ini adalah rezeki kami,” jelasnya lagi.
Selain membawa pulang trofi, Hening Rindu yang juga merupakan ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Saleh turut membawa pulang RM100,000.
Sebagai info, Marsha pernah mendapat tempat kedua dalam AJL36 menerusi lagu Cinta. Dia juga berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik dalam edisi kali itu.