‘Melepaskan Yang Bukan Ditakdir Untuk Kita’ – Julia Duclos Pertaruh Karya Penuh Emosi

‘Melepaskan Yang Bukan Ditakdir Untuk Kita’ – Julia Duclos Pertaruh Karya Penuh Emosi

Suaranya membuai perasaan sesiapa sahaja yang mendengar. Semangatnya pula tidak pernah padam untuk meneroka industri muzik tanah air membuatkan Julia Duclos mahu bekerja keras bagi memastikan impiannya terlaksana.

Tidak mahu selesa dengan apa yang sudah dilalui, Julia melancarkan lagu Terjatuh Cinta yang juga merupakan lagu pertama menggunakan Bahasa Melayu sementelah selama ini menghasilkan lagu berbahasa Inggeris.

Balada jiwa ini merupakan sebuah eksplorasi mendalam tentang cinta, kehilangan dan kekuatan tenang yang ditemui dalam proses melepaskan sesuatu dengan rela.

Dihasilkan oleh JOEK, dan ditulis bersama Danial dan Iskandar, Terjatuh Cinta adalah sebuah lagu yang lahir daripada pengalaman peribadi dan hubungan yang tulus. 

Saat kali pertama kali mendengar lagu ini, beliau sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan mengubah sedikit melodi lagu tersebut agar lebih mencerminkan kisah dirinya sendiri bagi menghasilkan sebuah karya yang bersifat peribadi namun tetap dekat di hati setiap pendengar.

“Bagi saya, Terjatuh Cinta bermaksud belajar untuk mencintai sesuatu dari jauh, dan mengetahui bila tiba masanya untuk melepaskan seseorang atau sesuatu yang bukan ditakdirkan untuk kita.

“Kadang-kadang kita terus bertahan kerana betapa besarnya cinta kita terhadap seseorang, tetapi terdapat kekuatan dalam memilih untuk melepaskan dan memberi ruang untuk perkara yang lebih baik,” kata Julia.

Julia berharap peminat memberikan reaksi positif kepada naskhah baharunya itu.

Dirakam dalam suasana studio yang intim, persembahan vokal Julia dalam lagu ini kedengaran ‘mentah’, tidak ditapis dan kebanyakannya dilakukan dalam satu rakaman tanpa banyak pengulangan, pilihan yang menambah keaslian dan impak emosi lagu tersebut. 

”Saya memang mahu ia kedengaran jujur dan spontan. Kami tidak ubah terlalu banyak, hanya sedikit untuk memastikan sebutan jelas. Yang penting adalah mengekalkan perasaan sebenar ketika rakaman itu dibuat,” tambahnya lagi.

Dengan lirik yang menyentuh dan susunan muzik yang membangun, Terjatuh Cinta menawarkan kelegaan dan keselesaan kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan keputusan sukar atau persimpangan emosi. 

Julia berharap pendengar akan merasa difahami dan ditemani melalui lagu ini.

“Perasaan ketidakpastian, kesedihan atau kemarahan, semuanya adalah hak masing-masing. Mereka tidak keseorangan. Penyembuhan mengambil masa tetapi ada kelegaan menanti di hujungnya,” tegasnya.

Sebetulnya, lagu ini  menandakan babak baharu dalam perjalanan seni Julia, bagi mengukuhkan diskografi dwibahasa bagi   menonjolkan kepelbagaian bakatnya.

Jelasnya, beliau sedang menyiapkan beberapa naskhah lain termasuklah lagu berbahasa Melayu dan Inggeris bagi menarik lebih ramai pendengar untuk menikmati karyanya.

Selain muzik, Julia juga berminat untuk meneroka bidang lakonan dan filem, sama ada sebagai pelakon atau penyumbang kepada lagu-lagu runut bunyi yang asli, menunjukkan kepelbagaian beliau sebagai daya kreatif.

Sebagai info, Terjatuh Cinta sudah dilancarkan pada 31 Oktober lalu dan video muzik boleh ditonton melalui YouTube Julia Duclos.

Related post

Leave a Reply