Mahkamah Tetapkan 6 Mei Tarikh Sebutan Cerai Nora Ariffin
Peguam mewakili Datuk Nora Ariffin, Sarah Mohd Ali mendedahkan tindakan penyanyi itu memfailkan cerai terhadap suami, Dr. Rushdi Ramli adalah berpunca daripada wujudnya pihak ketiga.
Bagaimanapun, Sarah enggan mendedahkan secara terperinci berhubung perkara tersebut dan hanya akan membentangkan segala isu berkaitan kemelut rumah tangga pasangan itu di mahkamah pada 6 Mei depan.
“Anak guam saya sudah memfailkan cerai terhadap suami dan prosiding pertama bakal berlangsung pada 6 Mei depan jam 9 pagi.
“Rumah tangga Nora dan suami bahagia sahaja, tetapi perceraian ini disebabkan ada unsur pihak ketiga.
“Namun saya tidak boleh dedah secara terperinci dan akan membentangkan segala isu di mahkamah,” katanya selepas Nora memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Isnin.
Sementara itu, Nora atau nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, berkata, keputusan untuk berpisah bukan dilakukan dalam keadaan terburu-buru, sebaliknya sudah merujuk dengan agamawan.
“Lama saya ambil masa untuk berfikir, bukan saya buat keputusan terburu-buru. Saya rujuk beberapa orang termasuk mufti, ustaz dan individu berpengalaman dalam hal-hal syariah sebelum memfailkan perceraian ini.
“Perkara ini juga saya kongsi dengan ahli keluarga serta anak-anak. Anak-anak tidak mahu masuk campur kerana ini tidak melibatkan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Samudera’ ini berkata, hubungan dengan suami masih dalam keadaan baik dan mereka tidak bermusuhan antara satu sama lain.
“Saya dan suami baik, kami tidak bergaduh, malah sepanjang perkahwinan tiada pergaduhan besar, setakat gaduh manja itu biasa.
“Saya masih tinggal bersamanya, kami sambut Hari Raya bersama. Kami pergi beraya ke rumah kenalan pun bersama.
“Cuma sekarang kami agak berjauhan. Tidak apa, dalam rumah tangga kami, saya banyak mengalah,” ungkapnya lagi.
Sekadar info, Nora mengumumkan sudah berkahwin dengan Dr Rushdi Ramli pada hujung 2021.
Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.