Linda Dakwa Jadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga, Beego Cabar Kemuka Bukti
Pelakon, Linda Hashim, 40, mendedahkan punca dia memfailkan cerai terhadap suami, aktor Beego susulan didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Pemilik nama lengkap Norhazlinda Hashim berkata, dia mempunyai empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung dakwaan tersebut.
“Saya ada empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung isu keganasan rumah tangga.
“Laporan itu dibuat disebabkan kecederaan yang saya alami. Pertama kali kejadian itu berlaku pada 2016 dan kali terakhir adalah pada bulan Oktober tahun lalu.
“Jika dia nak saya dedahkan, saya boleh buat. Kalau pihak saya terus ‘mencungkil’, saya tidak teragak-agak untuk dedahkan.
“Saya sudah bertahan lama, sudah berbelas tahun bertahan, jangan cuba manipulasi arau ‘play victim’. Ini juga satu amaran untuk dia,” katanya usai proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Linda, isu keganasan yang terjadi telah menyebabkan emosi dan mentalnya tidak stabil lalu mengambil keputusan untuk keluar dari rumah kelamin sejak Oktober lalu.
“Jujur saya katakan emosi dan mental saya tidak stabil. Anak-anak juga saya lihat emosi mereka agak terganggu.
“Saya ambil keputusan untuk keluar dari rumah sejak Oktober lalu kerana saya sudah tidak tahan lagi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Beego menggesa Linda supaya kemukan bukti berhubung dakwaan yang dibuat mengatakan aktres itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Saya enggan ulas lebih, jika dia ada bukti, saya minta dia kemukan bukti itu,” katanya.
Pada proses JKP yang berlangsung pada Rabu, mahkamah telah menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh mendengar laporan JKP oleh kedua-dua pihak.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
Sebelum ini pasangan itu pernah bercerai sebanyak dua kali sebelum rujuk semula.