
Seorang lelaki yang mencipta dan mengedarkan kandungan lucah deepfake secara haram yang melibatkan ahli kumpulan K-Pop popular telah dijatuhi hukuman penjara percubaan.
Hukuman tersebut diputuskan oleh Mahkamah Daerah Uijeongbu semalam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun enam bulan terhadap lelaki yang dikenali sebagai ‘A’, itu.
Begitupun, hukuman tersebut digantung selama tiga tahun. Hal ini bermakna, lelaki berkenaan tidak akan dipenjarakan selagi dia tidak melanggar syarat percubaannya dalam tempoh tersebut.
Deepfake merujuk kepada teknologi yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video palsu dengan menggabungkan wajah seseorang ke atas tubuh orang lain.
A didakwa mengendalikan sebuah bilik sembang Telegram selama kira-kira empat bulan bermula Disember 2024. Dalam tempoh itu, dia menggunakan perisian penyuntingan untuk menghasilkan kira-kira 330 imej dan video lucah palsu dengan mensintesis wajah selebriti terkenal serta kenalannya sendiri ke atas tubuh bogel.
Siasatan mengesahkan ahli kumpulan wanita popular seperti aespa, LE SSERAFIM dan NewJeans antara mangsa kandungan palsu tersebut.
Keputusan mahkamah ini dibuat ketika industri hiburan memperketatkan tindakan terhadap jenayah sedemikian.
Sebelum ini, Source Music, agensi yang mewakili LE SSERAFIM berikrar untuk mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah deepfake dan kandungan berniat jahat.
Agensi itu secara terbuka menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang tegas tanpa sebarang penyelesaian luar mahkamah bagi melindungi artis mereka daripada kandungan berbahaya dan gangguan seksual, sekali gus mencerminkan perang industri hiburan yang semakin memuncak terhadap jenayah seksual digital.
Sumber: Allkpop



