Lelaki Nekad Terjun Lubang Kumbahan Selamatkan Murid, Namun Mangsa Tidak Dapat Diselamatkan

Lelaki Nekad Terjun Lubang Kumbahan Selamatkan Murid, Namun Mangsa Tidak Dapat Diselamatkan

Seorang lelaki di Kedah sanggup menggadaikan nyawa dengan terjun ke dalam lubang kumbahan untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terjatuh ketika acara sukan sekolah baru-baru ini.

Tragedi itu berlaku sekitar pukul 10 pagi, dan meskipun usaha menyelamat dilakukan dengan penuh keazaman, malangnya kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan.

Menurut laporan New Straits Times (NST), Muhammad Arsyad Jahaya berkata, dia berada di sekolah berkenaan untuk menyaksikan acara apabila keadaan tiba-tiba bertukar kecoh.

“Saya sedang merakam video ketika murid pra-sekolah bersedia untuk memulakan larian, tiba-tiba keadaan menjadi huru-hara.

“Murid-murid diarahkan berkumpul di padang,” katanya.

Seorang guru kemudian bergegas kepadanya dan bertanya sama ada dia pandai berenang, sambil menjelaskan seorang murid telah terjatuh ke dalam lubang kumbahan.

Pada mulanya, lelaki berusia 35 tahun itu ragu-ragu kerana permukaan air kelihatan tenang dan doa tidak pasti jika benar ada seseorang di dalamnya.

“Saya ambil masa kira-kira dua hingga tiga minit untuk menilai keadaan dan mempertimbangkan risiko, lebih-lebih lagi kerana saya tidak mempunyai sebarang peralatan,” jelasnya.

Ketika itu, orang lain sudah menghubungi pasukan bomba dan penyelamat, namun Arsyad merasakan dia tidak boleh menunggu lebih lama.

Dia mula turun ke dalam lubang itu sehingga paras air mencecah leher. Arsyad menggunakan sebatang kayu untuk mengukur kedalaman, yang dianggarnya sekitar 2.4 meter dengan keadaan hampir tiada penglihatan akibat air hitam, gas serta bau yang kuat.

Apa yang mendorongnya bertindak ialah apabila topi dan sebelah kasut mangsa timbul ke permukaan.

“Saya rasa sesuatu terkena pada kayu, dan sejurus selepas itu topi serta kasut muncul. Saya anggap itu sebagai petanda, lalu terus menyelam,” katanya.

Arsyad berjaya mencapai tangan kanak-kanak tersebut di dalam air dan menolak tubuhnya ke atas sehingga orang ramai di atas dapat menariknya keluar.

Meskipun berjaya mengeluarkan mangsa, Arsyad berkata kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri dan insiden tersebut masih menghantui fikirannya.

Related post

Leave a Reply