Kuching Jadi Saksi, Search & XPDC Bergabung Dalam Konsert Fenomena Samurai

Kuching Jadi Saksi, Search & XPDC Bergabung Dalam Konsert Fenomena Samurai

Menyebutkan sahaja nama nama Search pastinya ramai yang kembali teringatkan lagu-lagu yang mencetuskan fenomena. Ditambah dengan XPDC, pastinya keterujaan peminat berganda untuk sama-sama mengembalikan ingatan terhadap sejarah penuh liku band ini.

Namun, keterujaan peminat akan berganda tatkala mereka bakal bersatu menerusi Konsert Fenomena Samurai yang pastinya mencetak satu lagi sejarah penting buat industri muzik tanah air.

Menariknya, mereka memilih Stadium Sarawak, Kuching sebagai destinasi tempur yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember hadapan.

XPDC dengan barisan Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu manakala Search tanpa perlu  diperkenalkan kental ‘digawangi’ Din dan Kid akan menjadikan Konsert Fenomena  Samurai sebuah malam epik buat peminat muzik rock. 

Menurut Ikhram yang juga merupakan penganjur bersama Seni Simfoni dan Bintang Batu Event menganggap konsert ini merupakan sebuah projek seni yang dirancang rapi kerana tidak mahu  kredibiliti kugiran yang mempunyai portfolio besar dalam negara hanya menjadi sebuah  persembahan ‘biasa’.

“Siapa yang tidak kenal Search dan siapa yang tidak kenal XPDC? Dua kugiran ini  adalah gergasi muzik tanah air. Muzik dan penampilan mereka sejak era 80-an sehingga kini kekal relevan dan  kelompok peminat mereka juga telah ‘beranak-pinak’ dari generasi lama kepada masa  kini. 

“Jadi apabila kami, Seri Simfoni dan Bintang Batu Event berbincang untuk  menganjurkan Konsert Fenomena Samurai, perkara utama yang dititik beratkan adalah  kualiti konsert dan tidak akan berkompromi mengenai kredibiliti Search serta XPDC  sebagai kugiran yang disegani. 

Gabungan perdana Search dan XPDC mampu mencetuskan sensasi baharu kepada peminat rock tanah air.

“Apa yang boleh kami katakan adalah Konsert Fenomena Samurai adalah sebuah  penganjuran yang mempunyai piawaian tersendiri baik daripada segi pemilihan muzik  atau kualiti bunyi dan persembahan,” ujar Ikhram atau lebih mesra dengan panggilan Atom.

Buat Search, Din menyifatkan penganjuran Konsert Fenomena Samurai sebagai sebuah  konsert yang akan dipenuhi bukan hanya nostalgia tetapi juga aprisiasi peminat yang  tidak pernah berhenti menyokong perjalanan Search dan XPDC yang dipenuhi ‘sepak  terajang’. 

“Konsert Fenomena Samurai bukan hanya konsert untuk peminat melihat dan  mendengar lagu-lagu Search dan XPDC tetapi kami percaya mereka yang hadir sudah sebati dengan sepak terajang, kecintaan serta perjuangan kami,” ujar Din. 

Kepada peminat rock tanah air, tiket mula dijual dengan harga RM250 (VIP), RM188  (Mosh), RM104 (Free Standing), RM160 (Silver), RM90 (Bronze) menerusi http:fenomenasamurai.ubertickets.asia/.

Related post

Leave a Reply