Penyanyi, Shila Amzah mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung konflik yang tercetus antara dirinya dengan legenda rock negara, Datuk Amy Search, buat masa ini.
Menurut pengurusnya, Aini Shuhaidah, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan emosi Shila yang kini berada dalam situasi tidak stabil dan memerlukan ruang untuk dirinya.
“Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai dan pihak media bahawa Shila tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi berhubung isu ini buat masa sekarang.
“Ini merupakan tempoh yang sangat sukar dan penuh emosi buatnya. Sebagai individu yang terkesan secara langsung, dia kini mengutamakan kesejahteraan emosi dan memilih untuk membiarkan proses perundangan berjalan seperti sepatutnya,” jelas Aini menerusi satu kenyataan.
Tambah Aini, segala urusan berkaitan kes tersebut kini telah diserahkan sepenuhnya kepada peguam Shila, Nini Adila yang akan mewakilinya dalam sebarang proses undang-undang selanjutnya.
“Kes ini secara rasmi telah diserahkan kepada wakil peguam kami, Nini Adila, yang akan menguruskan semua perkara berkaitan bermula sekarang.
“Kami dengan rendah hati memohon ruang privasi, kefahaman dan belas ihsan daripada semua pihak sepanjang Shila melalui detik mencabar ini,” katanya lagi.
Aini turut berharap agar konflik ini dapat diselesaikan secara adil dan saksama oleh semua pihak terlibat, selain mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterima daripada peminat dan masyarakat.
“Kami berharap penyelesaian yang adil, berhemah dan saksama dapat dicapai. Terima kasih atas sokongan, doa dan empati anda semua,” jelasnya.
Terdahulu, pada Julai lalu, Shila membuat laporan polis mendakwa dirinya telah diserang oleh seorang penyanyi legenda ketika menjalani sesi latihan bagi sebuah konsert.
Dia kemudian mengesahkan individu terbabit adalah Datuk Amy Search yang juga bapa kepada pelakon Nabila Huda.
Difahamkan, ketegangan antara kedua-dua artis tercetus selepas Amy didakwa tidak berpuas hati kerana Shila mencampuri urusan peribadi keluarganya.
Susulan dakwaan itu, Amy tampil membuat laporan balas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Julai selain turut menghantar notis tuntutan (Letter of Demand) kepada Shila.