Kerajaan Taja 1,000 Penggiat Industri Buka i-Saraan


Seramai 1,000 penggiat industri hiburan tanah air bakal menerima tajaan pembukaan akaun i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang diumumkan kerajaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif ini diperkenalkan menerusi program Pelindung yang menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada tenaga industri yang terpinggir termasuk kru bebas dan pekerja belakang tabir.

“Salah satu inisiatif penting yang digerakkan oleh Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) bersama Finas ialah Program Pelindung, iaitu sebuah usaha menyeluruh untuk menyediakan perlindungan sosial kepada penggiat seni, khususnya pekerja bebas, kru produksi dan tenaga belakang tabir.

“Melalui kerjasama strategik bersama Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penggiat seni kini boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) serta i-Saraan KWSP tanpa had umur, satu perlaburan jangka panjang untuk masa depan dan kebajikan mereka,” katanya.

Fahmi berkata demikian sempena Majlis Muhibbah Sambutan Raya Finas yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara pada Selasa. 

Jelanya lagi, kerjasama strategik bersama KWSP ini membolehkan penggiat seni menyertai i-Saraan KWSP tanpa had umur dan kuota ini dibuka sehingga September 2025.

Menerusi kerjasama strategik ini juga menyasarkan keutamaan kepada penggiat yang belum mempunyai carauman KWSP. 

“Untuk menyokong inisiatif ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Finas akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 orang penggiat seni yang masih belum mempunyai akaun KWSP. 

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka jalan kepada simpanan hari tua tetapi juga memberi mesej jelas bahawa Kerajaan Madani tidak meminggirkan mereka yang selama ini bertungkus-lumus membina industri dari belakang tabir,” ujarnya. 

Selain itu, Fahmi turut melancarkan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) dan inisiatif perlindungan sosial melalui program Pelindung.

“Gafema menghimpunkan lebih 16 buah persatuan merangkumi penerbit, pengarah, pekerja teknikal, animator, penulis skrip, pos-produksi dan banyak lagi sebagai satu entiti kolektif untuk memperjuangkan hak, kebajikan dan pembangunan industri,” katanya.

Terdahulu, menerusi Program Town Hall Industri Kreatif, Finas memberi penerangan berkenaan pindaan Akta Finas 1981 (Akta 244) serta membuka ruang kepada pemain industri menyatakan pendapat bagi memastikan industri ini dapat diperkukuh dari semasa ke semasa.

Fokus pindaan Akta 244 membabitkan tiga skop utama iaitu peluasan skop kawal selia Finas serta pengukuhan tadbir urus serta pemantapan fungsi Finas.

Semua ini sejajar dengan keperluan semasa termasuk arus dominan platform OTT (Over-The-Top) dan penstriman digital yang mengubah cara khalayak menikmati kandungan filem.

Related post

Leave a Reply