Isu Royalti Lagu Sinaran, Sheila Majid Tak Mahu Panjangkan Kontroversi

Penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung isu tuntutan royalti lagu ikonik berjudul Sinaran yang pernah dibangkitkan oleh balu Allahyarham Johan Nawawi iaitu Datuk Nora Ariffin.

Menurut Sheila, isu tersebut bukan ditujukan kepadanya secara langsung, malah menyifatkan perkara itu sudah pun selesai dengan pihak-pihak yang terlibat.

“Sebenarnya saya tak perlu komen apa-apa. Isu itu dah lepas, dah selesai pun. Lagipun, kenyataan itu bukan untuk saya, ia ditujukan kepada publisher,” katanya ketika pelancaran lagu Moving On pada Rabu.

Tambah Sheila, dia sedar akan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini dan menegaskan perkara itu tiada kaitan dengan dirinya sebagai penyanyi.

“Saya dah tahu dari awal lagi kenyataan itu bukan ditujukan pada saya. Jadi, tak perlu lah kita nak rasa ‘triggered’ atau nak panjangkan cerita,” jelas Sheila dengan tenang.

Menurutnya lagi, apa sahaja isu yang timbul antara Nora dan pihak penerbit sudah diselesaikan secara baik.

Sebelum ini, Nora menyuarakan harapan agar hak royalti karya arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi sebagai seorang komposer lagu-lagu hebat tanah air dapat dihormati dan diselesaikan secara adil oleh semua pihak berkaitan.

Namun begitu, Sheila Majid sebagai penyanyi asal lagu Sinaran memilih untuk tidak masuk campur.

Related post

Leave a Reply