
Isteri Aliff Syukri Sebak Lihat Anak Sulung, Ammar Semakin Yakin Tampil Di Khalayak
Usahawan terkenal, Datin Seri Nur Shahida meluahkan rasa sebak apabila melihat perkembangan positif anak sulungnya, Ammar Ahyan, yang kini semakin berani tampil di hadapan orang ramai.
Perkara itu dikongsikan Shahida menerusi satu hantaran di Instagram selepas Ammar muncul bersama bapanya, Datuk Seri Aliff Syukri, dalam program Talk To My Manager.
“Jujurnya saya sebak dan gembira melihat anak membesar. Dulu masa Ammar kecil, saya selalu terfikir bagaimana agaknya Ammar ini hendak ke depan,” tulisnya.
Menurut Shahida, sejak kecil Ammar seorang yang pendiam, bersifat introvert, serta kurang selesa berada di depan kamera.
“Dia tak suka kamera, tak mahu ke depan. Tapi siapalah kita hendak menidakkan percaturan Allah. Rahsia Allah itu kita tidak tahu.
“Budak introvert yang selalu kena bising ini akhirnya boleh ke depan. Mama bangga dengan Ammar walaupun Ammar kayu,” coretnya lagi.
Terdahulu, tular sepotong video Ammar selamba menyanyikan lagu Break nyanyian Misha Omar pada majlis berkenaan.
Walaupun itu merupakan persembahan pertamanya, keberanian Ammar nyata mencuri perhatian dan menerima pujian ramai.