Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024: Terengganu Rakyat Paling Bahagia, Wanita Lebih Ceria Berbanding Lelaki
Nampaknya rakyat Pantai Timur sudah menemui rahsia kebahagiaan.
Menurut Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024, penduduk Terengganu secara rasmi dinobatkan sebagai rakyat paling bahagia di negara ini, meninggalkan bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang jauh ke belakang.
Bukan itu sahaja, wanita di Malaysia juga dilaporkan lebih bahagia berbanding lelaki.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa negara mencatatkan skor 7.60 daripada 10 dalam MHI terbaru, sekaligus meletakkan Malaysia dalam kategori “bahagia”.
Dibina berasaskan Kajian Kebahagiaan Malaysia, indeks ini mengukur tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama: fizikal, sosial, emosi, dan kerohanian.
Dengan 94 indikator yang digabungkan dalam 13 komponen kebahagiaan, DOSM menyifatkan indeks ini sebagai alat menyeluruh untuk menilai kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Malaysia.
Terengganu meraih tempat teratas dengan skor 8.64, diikuti Johor (8.08) dan Negeri Sembilan (8.01), semuanya berada dalam kategori “sangat bahagia”.
Sebaliknya, kawasan bandar mencatatkan skor lebih rendah seperti Labuan (7.00), Pulau Pinang (7.19), Selangor (7.21) dan Kuala Lumpur (7.22), menunjukkan kehidupan bandar mungkin tidak seceria yang disangka.
Malah, DOSM melaporkan bahawa 36 daerah di seluruh negara mencapai skor “sangat bahagia” antara 8.02 hingga 9.83.
Hasil kajian turut mendedahkan bahawa agama dan kerohanian (8.69) serta hubungan kekeluargaan (8.64)memainkan peranan terbesar dalam meningkatkan tahap kebahagiaan.
Menariknya, wanita mencatat skor lebih tinggi (7.62) berbanding lelaki (7.57), manakala golongan umur 15–19 tahunmuncul sebagai kumpulan paling bahagia dengan skor 7.79.
