Belanjawan 2023 : RM127 juta untuk sektor industri kreatif, seni dan budaya
KUALA LUMPUR : Kerajaan memperuntukkan RM127 juta bagi menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya.
Daripada jumlah itu, kerajaan memperuntukkan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM102 juta bagi mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu membolehkan pemasaran produk seni tempatan dipertingkat selain mendorong lebih banyak karya kreatif dihasilkan.
“Kerajaan bercadang agar sumbangan Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai,” katanya.
Anwar berkata, aktiviti kebudayaan berperanan besar dalam melahirkan masyarakat madani yang saling menghormati dan bersatu padu.
“Ini juga penting bagi menyuburkan kepelbagaian khazanah seni yang kita warisi zaman-berzaman. Kerajaan menyediakan dana RM25 juta bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.
“Pemerkasaan budaya dimulai dengan budaya iqra’ bagi memupuk minat membaca karya klasik dan agung yang membabitkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya agung seperti karya Imam Al-Ghazali, pengasas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani dan Nuruddin Ali ar- Raniri, pemikir, sasterawan dan fialsuf Muhammad Iqbal.
“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan disukai ramai.
“Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan dipertingkatkan. Sejumlah RM20 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya.