FINAS-GAFEMA Capai Kata Sepakat, Seniman Sambut Baik Skim Perlindungan

MAHU mewujudkan ekosistem industri kreatif yang mapan, sistematik dan selamat
antara agenda penting yang digariskan dalam pertemuan di antara Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini.

GAFEMA turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan Skim Perlindungan yang bertujuan memperkukuhkan perlindungan sosial serta kebajikan ahli persatuan yang bernaung di bawah gabungan tersebut.

Menurut Presiden Persatuan Seniman (Seniman), Kolonel Bersekutu (PA) Rozaidi Abdul Jamil, pihak GAFEMA telah berbincang dan memperhalusi beberapa perkara termasuklah mewajibkan warga kerja industri kreatif bernaung di bawah mana-mana persatuan naungan.

“Kita menyambut baik cadangan untuk mewajibkan kesemua warga kerja industri kreatif untuk mendaftar bagi mewujudkan ekosistem yang lebih sihat untuk industri. Jika sudah dipersetujui di peringkat kementerian, ia akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan keberkesanannya.

“Dalam pertemuan tersebut juga, kami bersetuju untuk mewajibkan mana-mana syarikat yang menerima geran kerajaan menggunakan ‘standard kontrak’ kerja yang disediakan oleh pihak FINAS.

“Kita mahu memastikan setiap kru yang terlibat adalah ahli sah dalam mana-mana persatuan gabungan,” tambahnya lagi.

Pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato Azmir Saifuddin Mutalib dan dihadiri oleh wakil Presiden persatuan di bawah GAFEMA.

Selain itu antara usul lain yang telah dipersetujui termasuklah melaksanakan Film In Malaysia Incentive (FIMI) untuk menggalakkan penghasilan produk yang berkualiti tinggi selain menganjurkan townhall antara GAFEMA dan pemenang taruh industri kreatif.

Sebagai langkah susulan, FINAS akan membawa cadangan yang telah dipersetujui untuk perhatian Menteri Komunikasi sebelum memulakan pelaksanaannya selepas itu.

Pertemuan GAFEMA bersama Dato Azmir baru-baru ini membincangkan banyak perkara penting untuk industri.

Kesemua 16 persatuan yang bernaung di bawah GAFEMA pula akan menandatangani memorandum persefahaman bagi memastikan apa yang dirancang dapat dilaksana tanpa mengira kepentingan lain.

“Kita juga mahu memastikan Skim Pelindungan dapat dilaksanakan seperti mana yang dirancang dengan mewajibkan semua pemain industri membuat caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Ini perkara penting untuk memastikan ekosistem kerja lebih teratur dan memberikan jaminan hari tua. Jika berlaku apa sahaja masalah, skim inilah yang akan dapat membatu mereka nanti,” jelasnya lagi.

Tambah Zed pihak GAFEMA optimis dan berusaha keras demi memastikan industri kreatif tempatan lebih sistematik, profesional serta memberikan jaminan seperti mana yang diharapkan ramai pihak.

Jika selama ini kebanyakan persatuan hanya menumpukan kepada kebajikan ahli masing-masing, ia akan lebih mudah diselaras dengan tertubuhnya GAFEMA selain mengumpul data keahlian seterusnya sebagai data rasmi kerajaan.

“Pengumpulan data ini amat penting untuk membantu agensi kerajaan seperti FINAS mengetahui ‘geografi’ industri secara menyeluruh. Sekiranya ada akta baharu yang mahu digubal, data ini juga yang akan membantu.

“GAFEMA sedia memberikan kerjasama penuh kepada FINAS dan kerajaan seterusnya melestarikan industri kreatif,” katanya.

Selain Persatuan Seniman, antara persatuan lain yang bernaung dibawah GAFEMA termasuklah Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM); Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pesatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MIEWA).

Turut serta Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM); Persatuan Pasca Produksi, Animasi dan Kandungan Kreatif Malaysia (POSTAM); Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS); Persatuan Tinta Karya Malaysia (TINTA KARYA); Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM).

Related post

Leave a Reply