Pelakon, Fattah Amin tampil bersuara apabila namanya dipetik didakwa terlibat dalam isu rumah tangga pasangan pempengaruh, baru-baru ini.
Menurut Fattah, pihak pengurusannya kini sedang mengambil langkah serius terhadap individu yang menyebarkan fitnah membabitkan dirinya.
Kata aktor itu, segala tuduhan yang boleh mencalar imej serta kredibilitinya sebagai anak seni tidak akan dipandang ringan dan bakal dibawa ke muka pengadilan jika perlu.
“Pihak pengurusan saya menyedari hal ini selepas dimaklumkan oleh peminat yang prihatin. Semua kenyataan berunsur fitnah telah diteliti dan kami tidak akan berdiam diri.
“Ketika ini, perkara ini bukan lagi sedang dipertimbangkan, tetapi sudah dalam proses.
“Sekiranya perlu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap penyebar fitnah kerana perkara seperti ini boleh mencetuskan impak lebih besar,” katanya.
Terdahulu, kecoh apabila seorang pempengaruh wanita membuat pendedahan mengejutkan di platform Threads, mendakwa rumah tangganya diganggu oleh seorang wanita lain yang cuba menggoda suaminya.
Dakwaan tersebut semakin panas apabila nama wanita terbabit dikaitkan pula dengan Fattah Amin.