Elly Mazlein Umum Undur Diri Sertai Anugerah

Elly Mazlein Umum Undur Diri Sertai Anugerah

Selebriti serba boleh, Elly Mazlein, 44, mengejutkan ramai apabila mengumumkan untuk tidak lagi menyertai sebarang program berbentuk anugerah pada masa akan datang.

Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, keputusan itu dibuat kerana merasakan pencapaiannya selama ini sudah memadai, selain mahu memberi ruang kepada anak seni lain untuk menyerlah.

“Saya mahu umumkan pengunduran diri dalam mana-mana program anugerah.

“Alhamdulillah, saya sudah merasa kemenangan dalam kategori Pengacara TV Popular sebelum ini.

“Cukuplah sekadar pemenang di hati majmuk (peminat). Sekarang saya mahu beri peluang kepada pengacara lain,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Pengumuman itu dibuat Elly sebagai respon terhadap komen seorang individu di media sosial yang mendakwa dirinya sedang berkempen untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menariknya, Elly menganggap komen tersebut sebagai ruang terbaik untuk menjelaskan pendiriannya kepada umum.

“Tak mengapa, bagus juga ada komen macam itu. Sekurang-kurangnya orang tahu saya memang nak undur diri dari sebarang pertandingan.

“Terima kasih kerana membantu saya beritahu majmuk. Teruskanlah sokongan kalian,” ujarnya lagi.

Imbas kembali, Elly berjaya merangkul trofi Pengacara TV Popular pada ABPBH ke-35.

Related post

Leave a Reply