KKD sokong usaha bawa masuk peralatan studio produksi maya
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyokong usaha dilakukan pemain industri perfileman membawa masuk kelengkapan peralatan studio produksi maya ke Malaysia, sekali gus disifatkan mampu menjadi pencetus perubahan kepada industri kreatif negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia bertepatan dengan peruntukan Belanjawan 2023 sebanyak RM102 juta, antara lain merangkumi Pengecualian Duti Import serta Cukai Jualan ke atas Peralatan Studio dan Produksi Penggambaran.
“Kesan positif bukan sahaja dari segi pelaburan, tetapi membabitkan kemahiran dan pengalaman apabila membawa masuk penggambaran filem dari luar ke Malaysia,”
Fahmi Fadzil
“Saya percaya peralatan baharu digandingkan dengan pengalaman kita terbabit dalam filem lebih besar, ia akan membantu industri filem dari segi teknikal di Malaysia.”
Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmian berkata, dia menaruh keyakinan industri kreatif amnya dan industri filem khususnya akan terus berkembang sebagai jentera ekonomi seperti luar negara termasuk Korea Selatan, China, Jepun dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, kerajaan melalui KKD dan FINAS dapat terus meningkatkan pelaburan asing ke dalam negara melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan perjanjian kerjasama produksi antarabangsa dengan negara seperti China, Korea Selatan dan Indonesia menerusi sektor itu.
Pada masa sama, Fahmi mengingatkan penggiat industri kreatif untuk terus mengamalkan sikap keterbukaan dalam memberi dan menerima pandangan agar semak serta imbang dapat dilaksanakan.
“Salah tafsiran atau yang menyentuh sensitiviti sesuatu karya seni mesti dielakkan dalam keghairahan mengkomersialkannya.
“Kesefahaman ini penting untuk memastikan usaha dan kesepaduan bersama dapat dicapai dengan saling bertukar pandangan dan sokongan agar seni dan budaya rakyat Malaysia berbilang bangsa sentiasa terpelihara dan diperkembang ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Hari Seniman Kebangsaan 2023 bertema ‘Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian’ adalah simbolik penghargaan kepada penggiat seni dan budaya yang banyak menyumbang serta mengharumkan nama Malaysia.
Ia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan dipilih sempena tarikh kelahiran Tokoh Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai mengenang dan menghargai jasa beliau. – BERNAMA
Kredit Berita Harian