“Dari Jahit Baju Hingga Jadi Pengurus Tak Rasmi, Arwah Abah Banyak Berkorban”

“Dari Jahit Baju Hingga Jadi Pengurus Tak Rasmi, Arwah Abah Banyak Berkorban”

Penyanyi, Ziana Zain, 57, menyifatkan pemergian bapanya, Allahyarham Zain Abdullah sebagai kehilangan besar dalam hidupnya, lebih-lebih lagi insan itu menjadi tulang belakang sejak tiga dekad lalu dia bergelar anak seni.

Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain, berkata, arwah menjadi saksi dia mula bertapak dalam industri sehingga dikenali pada hari ini.

“Dulu semua abah boleh buat, daripada memasak, mengemas rumah sehinggalah menjaga anak-anak. Semasa mak dalam pantang, abah yang uruskan semuanya, termasuk memandikan anak-anak, memasak, mengemop lantai, basuh baju, semuanya dia lakukan sendiri.

“Ketika mula terbabit dalam bidang seni, baju pun abah yang jahitkan. Saya masih ingat, kami naik motor ke Klang nak beli kain warna merah jambu untuk buat baju. Tapi motor rosak di tengah jalan, jadi kami sama-sama tolak. Itu antara kenangan yang takkan saya lupa,” katanya.

Tambah Ziana, arwah bapanya juga sentiasa berpesan agar tidak mudah mengalah.

“Abah selalu ingatkan supaya jangan cepat putus asa. Katanya, tidak mengapa bersusah-susah dahulu, kerana hasilnya akan kita rasa kemudian,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Ziana berkata, arwah adalah seorang bapa dan suami yang penuh tanggungjawab serta sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja.

“Abah suka menjamu tetamu walaupun sekadar segelas air atau biskut kering. Dia sangat pemurah, suka menolong dan bersedekah.

“Sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis pun, dia banyak membantu orang. Saya percaya kerana sifat itulah rezekinya melimpah dan Allah mudahkan akhir hayatnya dengan cara yang baik,” katanya.

Selain itu, Ziana turut mengakui arwah banyak membentuk kerjaya seninya dan juga adiknya, penyanyi popular Anuar Zain.

“Dari dulu lagi abah jadi pengurus tak rasmi, teman kami ke sana sini, beri nasihat mengenai penampilan, malah selalu ingatkan supaya menjaga imej di depan peminat.

“Abah selalu pesan, ‘peminat sokong kita, jadi kita kena beri yang terbaik untuk mereka’. Malah saya sendiri, setiap kali keluar rumah, dia pasti ingatkan supaya bersiap elok-elok, jangan lupa pakai lipstik,” ceritanya lagi.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 87 tahun, meninggalkan isteri tercinta Robiah Abdul, lima anak serta 13 cucu.

Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam, pada jam 7 malam Selasa.

Related post

Leave a Reply