Cat Farish Hadiahkan Lot Premis Kepada Isteri
Penyanyi, Cat Farish, 51, membuat kejutan kepada isterinya, Shikin Maembong dengan menghadiahkan sebuah lot premis.
Pemilik nama sebenar Farish Ramli berkata, hadiah itu diberikan sebagai tanda sokongan kepada isterinya yang selama ini memasang impian untuk memiliki sebuah premis bagi menjalankan perniagaan yang diusahakan.
“Tidak rugi habiskan duit untuk isteri, ini sahaja yang saya mampu lakukan untuk bahagiakan awak.
“Insya-Allah kita doa sama-sama rezeki cahaya mata pula lepas ni ya sayang.
“Terima kasih ada ketika susah dan senang saya,” kongsinya dalam sebuah hantaran di TikTok.
Tambah ahli kumpulan Ruffedge itu lagi, dengan adanya premis tersebut, Shikin dapat menguruskan perniagaan dengan lebih lancar di kawasan yang selesa.
Dalam perkongsian sama, Shikin yang juga kakak kepada aktres, Emma Maembong dilihat tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya.
Imbas kembali, Cat Farish dan Shikin berkahwin pada 13 Julai 2023 selepas tiga bulan menyulam cinta.
Sebelum ini, Cat pernah berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020, namun bercerai Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Dia juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli tetapi berpisah pada April 2016. Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13 dan Qul Iskandar, 12.
Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 sebelum bercerai pada Jun 2016.
Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.
Shikin kemudian berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020, namun berpisah selepas dua tahun.