
Bercuti Di Langkawi Tidak Sepatutnya Mahal – PMX
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mencari langkah untuk mengurangkan kos percutian di Langkawi supaya pulau itu lebih mampu dikunjungi oleh pelancong tempatan.
Anwar berkata dua pengerusi bersama LADA iaitu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah diberi arahan untuk berbincang dan merangka langkah yang boleh menjadikan percutian di Langkawi lebih murah dan menarik bagi rakyat Malaysia.
Anwar menegaskan bahawa, walaupun Langkawi mempunyai pantai yang lebih bersih serta tarikan semula jadi yang lebih indah berbanding destinasi berhampiran seperti Phuket, kos penginapan dan perjalanan yang tinggi telah menyebabkan ramai rakyat tempatan tidak memilih untuk bercuti di sana.
“LADA akan mencari cara untuk mengurangkan kos percutian di Langkawi kerana jika terlalu mahal, pulau itu tidak akan menarik ramai pelancong,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menambah bahawa kerajaan turut mengaji cara untuk memperkukuh daya tarikan pelancongan domestik, susulan laporan yang menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong ke luar negara, terutamanya ke selatan Thailand ketika cuti hujung minggu panjang.
Bulan lalu sahaja, sekitar 200,000 rakyat Malaysia membelanjakan hampir RM50 juta untuk aktiviti membeli-belah dan rekreasi di Thailand sempena cuti Hari Malaysia, satu trend yang menurut Anwar, menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan daya saing sektor pelancongan tempatan.