Bapa Tak Sedar Anak Terjatuh Lepas Berhentikan Kereta Untuk Jawab Telefon

Gara-gara terjatuh daripada tingkap kereta, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mengalami kecederaan pada muka di satu kejadian di KM5 Jalan Lipis-Merapoh semalam.

Lebih memburukkan keadaan, bapa mangsa hanya menyedari anaknya hilang apabila dia memulakan kembali perjalanan selepas memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk menjawab panggilan telefon.

Difahamkan, bapa mangsa meneruskan perjalanan sehingga dua kilometer sebelum menyedari anaknya tiada di dalam kereta.

Disebabkan itu, bapa mangsa cuba untuk mencari anaknya. Namun, pencariannya tidak berhasil.

“Pencarian gagal dan bapa kanak-kanak itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis,” kata Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak itu kemudian ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan kejadian. Ketika ditemui, kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada wajah dan berada seorang diri di tepi jalan.

Mangsa kemudian dihantar ke Balai Polis Padang Tengku. Bapa mangsa kemudian dimaklumkan anaknya sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Padang Tengku ketika membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis.

“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak berkenaan cedera dan menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lipis,” katanya lagi.

Jelas Ismail lagi, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu terjatuh dari kereta bapanya melalui tingkap belakang kenderaan yang terbuka.

Related post

Leave a Reply