Bakal Ikuti Pesta Songkran? Hati-Hati… Pakai Baju Mencolok Mata Boleh Didenda Hingga RM618!

Merancang untuk menyambut Songkran dengan memakai bikini dan seluar pendek? Fikir semula.
Ketika Thailand bersiap sedia untuk Songkran 2026, pihak berkuasa menegaskan pemakaian pakaian terlalu mencolok mata di kawasan permainan air awam boleh menyebabkan anda dikenakan denda yang tinggi.
Di bawah kempen kerajaan ‘Safe Songkran, alcohol-free’, Polis Diraja Thai (RTP) mengumumkan yang mereka bersedia untuk menguatkuasakan undang-undang secara ketat sepanjang Songkran 2026 bagi mengurangkan kemalangan dan jenayah, lapor Nation Thailand.
Antara peraturan yang diperketatkan tahun ini adalah berkaitan pemakaian, lebih dekat kepada gaya berpakaian berbanding pistol air.
Memakai pakaian yang terdedah atau berkelakuan berunsur seksual di tempat awam boleh didakwa sebagai perbuatan tidak senonoh, dengan denda sehingga 5,000 baht (RM618).
Peraturan ini berada di bawah Seksyen 388 Kanun Jenayah Thailand, yang mengklasifikasikan pemakaian mencolok di tempat awam sebagai tingkah laku memalukan dan boleh dikenakan denda sehingga 5,000 baht.
Pihak berkuasa menegaskan, undang-undang ini terpakai kepada semua yang menyertai sambutan Songkran di tempat awam, termasuk penduduk tempatan dan pelancong.
Hal ini bukanlah satu perkara baharu. Tahun lalu, seorang wanita dikenakan denda selepas rakaman dirinya menari secara menggoda berhampiran sebuah trak pikap semasa perayaan Songkran tular.
Ramai netizen mengecam perbuatannya kerana mencemarkan imej budaya Songkran, malah ada yang menggesa tindakan undang-undang diambil.
Polis kemudian mengenal pasti wanita tersebut dan mengeluarkan saman di bawah Seksyen 388 Kanun Jenayah.
Selain kod pemakaian, beberapa peraturan lain juga dikuatkuasakan secara ketat sempena Songkran kali ini.
Sebagai contoh, peranti air bertekanan tinggi termasuk meriam air daripada paip PVC atau pistol air yang diubah suai yang boleh mencederakan mata atau badan adalah dilarang.
Pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga 4,000 baht (RM495).
Di zon khas ‘Safe Zones’ seperti Khao San Road dan Silom Road, penggunaan bedak dan semburan berwarna juga tidak dibenarkan.
Kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol turut dikenakan tindakan tegas, di mana pemandu dengan kandungan alkohol dalam darah melebihi 50 mg% boleh dipenjara sehingga satu tahun dan didenda antara 5,000 (RM618) hingga 20,000 baht (RM2,472).
Di bawah undang-undang trafik baharu pada 2026, kesalahan berulang dalam tempoh dua tahun boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum 100,000 baht (RM12,362).
Songkran 2026 secara rasmi disambut dari 13 hingga 15 April, walaupun perayaan di bandar seperti Chiang Mai dan Pattaya biasanya berlanjutan lebih lama daripada tarikh rasmi.
Talian hotline Polis Pelancong, 1155, beroperasi 24 jam sehari dan menyediakan bantuan dalam bahasa Inggeris bagi mereka yang memerlukan sepanjang festival.
Foto CNN



