Awesome TV Fail Saman Terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh & Abu Mamu

Awesome TV Fail Saman Terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh & Abu Mamu

Pihak stesen televisyen, Awesome TV mengesahkan telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah yang tular di media sosial.

Tindakan tersebut menyusul selepas dakwaan tidak berasas dilemparkan oleh Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu yang mendakwa pihak stesen televisyen itu gagal melunaskan bayaran melibatkan pembabitan mereka dalam beberapa program terbitan Awesome TV.

“Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami adalah terbitan syarikat produksi luar.

“Justeru, segala urusan kontrak serta pembayaran artis merupakan tanggungjawab sepenuhnya pihak produksi berkenaan,” jelas pihaknya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Menurut kenyataan tersebut lagi, tuduhan ketiga-tiga selebriti berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjejaskan nama baik dan reputasi korporat Awesome TV.

Lebih mengejutkan, isu ini turut dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid tanpa melakukan semakan fakta yang menyeluruh.

“Sebagai seorang wakil rakyat, beliau seharusnya berlaku adil dan menyiasat fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat,” tulis kenyataan itu lagi.

Susulan itu, Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman fitnah terhadap semua pihak terlibat demi mempertahankan integriti syarikat.

“Kami memandang serius sebarang tuduhan palsu dan tidak berasas yang boleh menjejaskan reputasi kami.

“Awesome TV komited dalam memberikan kandungan terbaik kepada penonton dan akan mempertahankan hak kami melalui saluran undang-undang yang sewajarnya”, jelas pihaknya.

Related post

Leave a Reply