Anak kepada pelakon veteran, Dharma Harun Al Rashi iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, mendedahkan dia telah menerima pelbagai tawaran kerja tidak bermoral selepas berkongsi tentang kesempitan hidupnya di media sosial.
Syafiq yang kini bekerja sebagai model sambilan berkata, salah satu tawaran yang mengejutkan ialah daripada individu tidak dikenali yang sanggup membayar RM1,000 untuk “menyewa tubuh” dirinya.
“Saya terkejut bila dapat mesej macam tu awal Julai lalu. Ada juga tawaran lain yang lebih teruk, tapi saya rasa tak sesuai nak kongsi secara terbuka,” katanya.
Menurut Syafiq, dia tidak terlalu hairan apabila menerima mesej berunsur tidak senonoh kerana menyedari dirinya sering memuat naik gambar tubuh sebagai sebahagian daripada portfolio kerjayanya sebagai model.
Namun begitu, dia menegaskan bahawa prinsip hidupnya tetap tidak tergugat meskipun berada dalam keadaan terdesak.
“Saya memang seorang model, jadi ada kongsikan gambar-gambar badan. Tapi tak sangka pula disalah tafsir. Walaupun hidup saya susah, saya tak akan jual diri. Saya masih fikir dosa,” ujarnya tegas.
Dalam masa yang sama, Syafiq meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang melabel dirinya sebagai pemalas hanya kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap, sedangkan dia menanggung ayahnya yang sudah lama tidak bekerja.
“Saya tak minta simpati. Tapi orang tak tahu, saya dah tiga tahun tanggung ayah saya dengan gaji kurang RM1,000 sebulan sebagai barista. Orang mudah menilai tanpa faham apa yang berlaku,” katanya.
Syafiq juga memaklumkan bahawa dia kini sedang menyambung pelajaran kerana sedar bahawa kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja tidak mencukupi untuk menjamin pendapatan lebih baik.
“Saya kena belajar sebab nak naikkan pendapatan. Saya tahu ramai yang kecam, tapi mereka tak tahu cerita sebenar. Saya usaha, bukan duduk diam,” jelasnya lagi.
Syafiq berharap agar masyarakat lebih bijak dalam menilai seseorang dan tidak mudah menjatuhkan hukum tanpa mengetahui keseluruhan situasi.