“Ada Yang Tak Puas Hati Dengan Saya” – Afdlin Shauki
Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, 53, tidak menolak kemungkinan bahawa isu dakwaan salah laku perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkannya bermotifkan permainan kotor politik.
Afdlin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Penasihat DBKL bagaimanapun bersyukur, isu tersebut akhirnya selesai selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dia tiada kaitan.
“Dakwaan bermotifkan politik. Dunia politik memang sangat kotor. Sebagai orang yang berada dalam politik, kita kena pastikan kelompok kita kecil.
“Bila projek besar sangat, akan ada yang tidak puas hati. Mungkin juga dakwaan ini timbul kerana ada yang iri hati atau tidak puas hati dengan saya.
“Ada yang kata saya guna kabel? Saya ucapkan terima kasih kerana mereka fikir saya ada kabel yang kuat. Tetapi kalau kabel saya kuat, cerita ini tak akan keluar,” kongsinya.
Mengulas lanjut, pengarah filem Harimau Malaya: The Untold Story itu berkata, dia telah mengambil tindakan bijak apabila memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan ketika isu tersebut hangat diperkatakan.
“Bila isu mula-mula timbul, saya ambil pendekatan untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya mahu beri laluan kepada badan penyiasatan berkenaan untuk lakukan kerja mereka.
“Orang tuduh memang senang tetapi bila kita nak lawan semula, orang luar akan pandang enteng. Jadi saya diam dulu, dapatkan nasihat orang dalam parti dan mereka juga nasihatkan saya untuk berdiam diri,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, Afdlin memberitahu, dia ada mengambil pendekatan untuk ‘menyiasat’ sendiri kes terbabit bagi membersihkan namanya yang sudah tercalar.
“Mereka beritahu saya, ada siasatan kerana ada laporan, tetapi bagi pihak DBKL sendiri kata saya tidak salah kerana sudah mengikut tatakelola dan tugas saya memang mencari dana untuk yayasan.
“Saya juga sudah bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM tetapi tahu-tahu selepas solat di Masjid Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sudah umumkan bahawa saya tiada kaitan dengan kes ini,” ungkapnya lagi.