Malam Simfoni Luka Gabung For Revenge, Imsomniacks & Midnight Fusic
Bagai sebuah perhimpunan, itu gambaran pertama bagi sebahagian peminat muzik tanah air tatkala tiga nama besar bakal berkumpul melarutkan emosi dan melodi menerusi sebuah konsert besar.
For Revenge, Imsomniacks dan Midnight Fusic bakal bersatu menerusi Malam Simfoni Luka pada 24 Januari 2026 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Konsert ini menjanjikan sebuah pengalaman sonik yang menyatukan rasa duka, cinta dan harapan melalui alunan muzik dan lirik yang mencerminkan perjalanan jiwa generasi muda masa kini.
Dengan reputasi For Revenge sebagai band post-hardcore yang terkenal dengan persembahan bertenaga dan lirik penuh makna, digandingkan dengan pesona pop moden Insomniacks serta nuansa ‘dreamy alternatif’ Midnight Fusic, Malam Simfoni Luka dijangka menjadi malam yang menggetarkan hati setiap pencinta muzik tempatan dan serantau.
Menyusuri perjalanan seni For Revenge, kumpulan yang berasal dari Bandung, Indonesia ini mencipta gelombang besar di rantau Asia Tenggara sejak penubuhannya pada 2006.
Dikenali dengan lirik yang sarat emosi dan vokal penuh bertenaga, mereka sering mengangkat tema kehilangan, harapan dan penyembuhan.
Lagu seperti Derana, Serana dan D.E.A.R. melonjakkan nama mereka sebagai antara band paling berpengaruh dalam genre mereka.
Reputasi mereka sebagai kumpulan yang memberikan persembahan pentas bertenaga menjadikan kehadiran mereka dalam konsert ini sebagai salah satu tarikan utama.

Insomniacks pula muncul mencuri perhatian melalui lagu mega hit Pulang dan Sempurna. Berbekalkan imej segar, nada pop yang mudah diingati dan lirik yang dekat di hati, mereka menjadi antara penyumbang utama kepada kebangkitan muzik pop alternatif tempatan.
Pengaruh mereka dalam kalangan generasi muda begitu ketara, terutama melalui kehadiran kuat di media sosial dan persembahan live yang penuh aura mesra penonton.
Namun tumpuan semestinya diberikan kepada Midnight Fusic yanh membawa nuansa ‘dreamy rock’ dan pop alternatif yang memberikan sentuhan antarabangsa pada peta muzik tempatan.
Dengan lagu-lagu seperti Caramel Cream dan Lovesick, mereka menampilkan identiti muzik yang sarat elemen nostalgia, remaja dan introspektif. Melodi melayang dan vokal lembut mereka menjadikan kumpulan ini kegemaran kalangan peminat muzik indie moden.
Konsert ini bukan sekadar hiburan, tapi satu pertemuan emosi antara artis dan peminat. Ia tentang luka, tentang bangkit dan tentang bagaimana muzik menjadi terapi, menandakan konsep mendalam di sebalik pementasan ini.
Selain persembahan utama daripada tiga kumpulan ini, konsert ini turut menampilkan pencahayaan sinematik, susunan muzik live yang diolah semula secara eksklusif, serta visual khas yang akan membawa penonton menyelami setiap emosi yang terkandung dalam lirik lagu persembahan mereka.
Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket untuk menyaksikan persembahan mereka boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my.
