Dr Ahmad Sanusi Tegur Drama Islamik Selit Unsur ‘Kelucahan’
Drama siri web Bidaah menjadi buah mulut dalam kalangan netizen gara-gara satu babak yang menampilkan pelakonnya, Vanidah Imran mengusap janggut Faizal Hussein menggunakan kaki.
Selepas babak tersebut viral di media sosial, penulis skrip dan juga penerbitnya, Erma Fatima telah pun memberikan maklum balas selain memberitahu babak berkenaan dihasilkan sekadar mahu memberi pengajaran kepada orang ramai.
Begitupun, apa yang dijelaskan oleh Erma itu mendapat respons berbeza oleh ahli akademik merakap Timbalan Dekan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Dr Ahmad Sanusi menerusi hantaran Facebook berkata, unsur kelucahan tidak perlukan sama sekali dalam drama berkenaan memandangkan ia bercanggah dengan prinsip Islam.
“Mungkin juga babak ini merupakan elemen kontroversi terancang bagi bertujuan menarik penonton melalui konsep ‘bad marketing’.
“Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam. Rasulullah mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka. Sabda Rasulullah: ‘Sesungguhnya para pengusaha (peniaga) akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan “fujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.’ (HR al-Tirmizi),” terangnya dalam satu hantaran.
Beliau menambah, sekiranya elemen tersebut dimuat naik secara sengaja, adakah seseorang itu mahu mencari pendapatan melalui jalan yang dicegah Allah?
“Adakah makanan yang bakal menjadi darah daging kita ini, kita kaut hasilnya melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah. Sumber yang haram akan pasti mengganggu ibadah dan doa kita,” katanya lagi.