
Privasi Lee Dong Wook Diceroboh, Agensi Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang
Pelakon, Lee Dong Wook tampil bersuara mengenai insiden pencerobohan privasi yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Pada 14 Oktober, agensi Dong Wook, KINGKONG by Starship Entertainment mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
“Baru-baru ini, terdapat individu yang berkunjung ke kediaman dan ruang peribadi Lee Dong Wook tanpa kebenaran, cuba menghubunginya atau meninggalkan surat-surat tidak wajar. Tindakan ini jelas merupakan pelanggaran privasi.
“Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap semua bentuk pencerobohan privasi, termasuk lawatan tanpa izin ke rumah artis, pencerobohan ruang peribadi, penjejakan jadual tidak rasmi, serta kebocoran maklumat peribadi,” ujar agensinya.
KINGKONG by Starship juga menegaskan bahawa cubaan untuk mendapatkan atau menggunakan maklumat penerbangan turut dianggap sebagai pelanggaran privasi.
“Mendapatkan butiran penerbangan melalui cara tidak sah atau menaiki penerbangan yang sama semata-mata untuk mendekati artis semasa jadual luar negara atau peribadi juga akan dianggap sebagai pencerobohan privasi,” jelas agensinya lagi.
Dalam masa sama, KINGKONG by Starship Entertainment memohon agar peminat menghormati keselamatan dan hak artis mereka.
“Tingkah laku seperti ini adalah pelanggaran undang-undang yang jelas. Kami memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati keselamatan dan hak artis.
“Syarikat kami akan terus mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi artis kami,” kata agensi itu seperti dilaporkan Allkpop.
Sementara itu, Lee Dong Wook dijadualkan tampil dalam musim kedua siri Disney+, A Shop for Killers yang bakal ditayangkan tahun hadapan.