Zul Ariffin Tangguh Hasrat Pindah Makkah – ‘Tak Mahu Tinggalkan Karier Saya’

Zul Ariffin Tangguh Hasrat Pindah Makkah – ‘Tak Mahu Tinggalkan Karier Saya’

Pelakon, Zul Ariffin, 40, terpaksa menangguhkan dahulu niatnya untuk berhijrah dan memulakan kehidupan baharu di Makkah.

Pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin berkata, buat masa ini dia memilih untuk terus fokus pada kerjaya seninya yang sudah menjadi sebahagian besar hidupnya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya pernah duduk di Makkah selama tiga bulan, jadi saya tahu perasaan itu. Memang semua orang teringin untuk berhijrah ke sana, tapi buat masa sekarang, saya perlu teruskan apa yang saya sudah mulakan di sini.

“Kadang-kadang bila kita terlalu bercerita tentang perancangan, tak semua akan jadi seperti yang dirancang,” katanya.

Bercerita lanjut, Zul berkata, dia kini lebih selesa untuk fokus kepada kerja seni kerana rezekinya masih banyak datang dari bidang itu.

“Saya tak mahu tinggalkan karier saya. Kadang-kadang kita nak cuba benda lain macam berniaga, tapi bukan semua sesuai. Saya bukan datang daripada keluarga peniaga dan saya tak mahu ambil risiko dengan orang yang saya tak pasti kejujurannya.

“Sekarang pun, alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada. Jadi, buat apa saya lepaskan sesuatu yang dah pasti untuk perkara yang belum tentu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dia kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, terutama yang melibatkan masa depan dan kerjayanya.

“Ini dunia saya dan saya bahagia di sini. Saya dah berlakon sejak umur 21 tahun dan saya memang cintakan kerja ini. Untuk saya berhenti dan pindah ke tempat lain, bukan keputusan kecil.

“Buat masa ni, saya ketepikan dulu niat tu dan terus fokus dengan apa yang ada sekarang,” katanya.

Zul sebelum ini pernah berkongsi rancangan untuk berhijrah ke Makkah bagi menguruskan perniagaan mesin layan diri dengan sebuah syarikat dari Singapura.

Ketika itu, dia sangat teruja kerana kediaman yang dirancang hanya lima kilometer dari Masjidil Haram.

Related post

Leave a Reply