Zed Zaidi ditauliah Kolenel Bersekutu APM
AHLI Perbadanan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zed Zaidi menerima pentauliahan Kolenal Bersekutu (PA), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) bersama 12 lagi penggiat seni tanah air dalam satu majlis yang berlangsung pada Jumaat.
Zed yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS menyifatkan pentauliahan ini merupakan satu tanggungjawab sosial yang harus diberikan semula kepada masyarakat.
“Saya menganggap pentauliahan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat. Ini juga menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Banyak perkara boleh dilaksanakan oleh anak seni sekiranya mereka menyertai APM dan saya yakin lebih ramai penggiat industri kreatif tanah air akan bersama-sama kami nanti bagi membangunkan Malaysia melalui kerja-kerja sukarelawan,” kata Zed.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Suruhanjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed berlangsung di ibu pejabat APM, Kajang, Selangor.

Selain Zed beberapa ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS turut sama diberikan tauliah dalam majlis tersebut terdiri daripada , Mas Suhaizul Nizam Zakaria yang anugerahkan pangkat Mejar Bersekutu.
Turut ditauliahkan pangkat yang sama, Aizuddin Abd Gaffal yang merupakan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri.
Pelakon Esma Daniel pula ditauliahkan sebagai Kapten Bersekutu manakala tujuh yang lain bergelar Leftenan Bersekutu.
Mereka terdiri daripada Mohd Hashim Naim, Muhammad Syukri Suhaimi, Mohd Hazmi Mohd Sharif, Muhamad Najmi Abdul Rahim, Noor Haiza Hussein, Nur Najwa Nasir dan Maz Suhaila Mohd Azman.
Jelas Zed lagi, APM dan FINAS masih lagi dalam rangka perancangan untuk kembali mewujudkan Briged Seni Kreatif di bawah agensi berkenaan.
“Sebenarnya Briged Seni Kreatif ini pernah diwujudkan tetapi disebabkan beberapa faktor ia seakan-akan tidak aktif. Pihak FINAS berbesar hati untuk bekerjasama dengan APM bagi mengaktifkan semula dengan merangka pelbagai aktiviti bermanfaat untuk semua pihak.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menstruktur semula Briged Seni Kreatif ini seterusnya merangka aktiviti tahunan yang akan diisi di dalam takwim FINAS mahupun APM.
“Matlamat kami jelas untuk membatu memperkasakan lagi APM sebagai sebuah agensi yang hebat di Malaysia,” kata Zed yang juga merupakan Presiden Seniman.
Dalam pada itu, Zed menyeru kepada semua anak seni untuk sama-sama terlibat dalam kerja sukarelawan bersama APM seterusnya membangunkan Briged Seni Kreatif seperti yang diharapkan pelbagai pihak.