Yassin Pulang Sebelum Aidilfitri, Berjaya Hafal 20 Juzuk Quran Dalam Tahanan

PELAWAK Yassin Senario yang hilang dari radar industri dilaporkan bakal pulang ke tanah air sebelum menjelang Aidilifitri.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ahli Senario iaitu Saiful Apek sekali gus mengesahkan sahabatnya itu kini sedang ditahan di Arab Saudi atas kesalahan dadah.

“Saya dan ahli Senario selama ini kami memilih untuk berdiam diri kerana mahu menghormati keluarga Yassin. Tetapi melalui maklumat keluarga, dia akan balik Malaysia sebelum Aidilfitri.

“Alhamdulillah kami lega apabila dapat tahu dengan lebih terperinci keadaan dirinya. Saya dan Yassin sudah berkawan lama. Mungkin dia tak pandai mana, tapi dia tak bodoh.

“Saya juga ini semua pihak berhenti buat sebarang spekulasi. Nantikan sahaja tuan badan pulang dan biar dirinya sendiri menjelaskan segalanya sehingga dia ditahan,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Apek memberitahu bahawa Yassin bukan ditahan di penjara, sebaliknya sedang menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan.

“Alhamdulillah saya lega dia berada dalam keadaan yang baik. Dia pun dengarnya sudah hafal sehingga 20 juzuk al-Quran kerana dapat ‘kursus percuma’.

“Tiada benda jadi kebetulan, insya-Allah sebelum Aidilfitri ini dia pulang untuk bersama dengan keluarganya dan kami akan sambut dengan penuh gembira,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Apek memaklumkan dia berpeluang bercakap dengan Yassin dan melihat keadaan terkini sahabatnya itu.

“Saya dapat bercakap sekali dengan Yassin melalui panggilan video di aplikasi Zoom. Malah berat badannya juga bertambah naik. Kalau dulu badannya saiz S (small) kini sudah saiz M (medium),” katanya.

Dalam pada itu, Apek mengakui dia bersama rakan-rakan lain ada menghulurkan bantuan untuk memastikan rakannya itu berada dalam keadaan baik.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelawak telah ditahan di Jeddah, Arab Saudi selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.

Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November lalu.

Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.

Related post

Leave a Reply