Wanita Asal Kelantan Jana RM13,000 Sebulan Di Australia, Kerja Ladang Musim Buah Bersama Dua Adik

Wanita Asal Kelantan Jana RM13,000 Sebulan Di Australia, Kerja Ladang Musim Buah Bersama Dua Adik

Seorang wanita dari Malaysia berjaya memperoleh pendapatan lebih RM13,000 sebulan hasil kerja sambilan di ladang pertanian di Melbourne, Australia, selepas berhijrah ke sana bersama dua adik perempuannya untuk melarikan diri daripada kesempitan hidup.

Tuan Nooraida Tuan Min, 40, yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, berkata beliau membuat keputusan sukar pada tahun 2019 untuk berpindah ke Melbourne bersama adiknya, Tuan Nadhirah, 30, dan Tuan Nurnasuha, 27.

Keputusan itu dibuat selepas keluarga mereka berdepan tekanan kewangan yang semakin meruncing di tanah air.

Nooraida berkata, mereka mula mengambil pekerjaan ladang bermusim bagi memperoleh pendapatan tetap, walaupun langsung tiada latar belakang dalam bidang pertanian.

Menurutnya, jenis pekerjaan mereka berubah mengikut musim, dengan sekurang-kurangnya empat jenis kerja berbeza setiap tahun.

“Dari Januari hingga Mei, kami memetik anggur. Apabila musim anggur tamat, kami beralih kepada menuai brokoli selama dua hingga tiga bulan.

Selepas itu, kami bekerja di kilang pembungkusan epal dan pada hujung tahun, kami menanam, memetik serta membungkus tomato,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Nooraida berkongsi, pendapatan daripada kerja ladang tersebut telah mengubah kehidupannya.

Kini beliau memperoleh sekitar AUD5,000 sebulan (RM13,740) dan hasil itu digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya sebelum ini.

Walaupun kerja ladang mencabar dan memenatkan, Nooraida berkata, dia gembira dapat bekerja bersama dua adiknya.

Mereka juga kini sudah mahir dengan pelbagai aspek pertanian, daripada proses menanam hingga menuai pelbagai jenis tanaman.

Namun, Nooraida mengakui pekerjaan itu datang dengan pengorbanan besar, terutamanya kerana perlu berjauhan daripada keluarga di Malaysia.

“Waktu bekerja panjang, kadang-kadang kami makan tidak menentu. Tapi usaha ini berbaloi kerana pendapatannya jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia,” ujarnya.

Buat masa ini, Nooraida tidak merancang untuk pulang ke Malaysia.

Katanya, mungkin suatu hari nanti dia akan kembali, tetapi bukan dalam masa terdekat.

Dia turut menasihati rakyat Malaysia yang berhajat untuk bekerja di Australia supaya mengikuti saluran sah.

“Pastikan mohon visa kerja yang sah dan jangan ambil jalan pintas. Sekarang ini maklumat tentang kerja di luar negara pun banyak boleh dicapai,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply