UNIC Imbang Emosi, Spiritual & Hiburan

UNIC Imbang Emosi, Spiritual & Hiburan

Melihatkan satu persatu kejayaan konsert nasyid di Malaysia sejak akhir-akhir ini telah memberikan semangat  baharu kepada ramai penggiat irama berkenaan untuk sama berhibur sambil berdakwah.

Hal yang sama turut diakui oleh UNIC, yang sebetulnya sudah berjalan lebih dua dekad di dalam industri dengan menganjurkan konsert ‘This Is UNIC: Live In Concert’, yang akan berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini menandakan satu bab penting dalam perjalanan dua dekad UNIC, sekaligus menjadi konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu bersama Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.

“Matlamat konsert ini sangat peribadi buat kami. Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal.

“Kami hendak kembalikan semangat nasyid ke pentas besar, membuktikan muzik dakwah masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang,” ujar Bazli Hazwan.

Tidak sekadar persembahan hiburan, konsert ini dirangka sebagai satu pengembaraan muzik dan jiwa, membawa penonton menyusuri perjalanan UNIC dari awal kemunculan mereka hingga kini. 

Setiap segmen persembahan akan disusun berdasarkan fasa sejarah kumpulan ini, membolehkan peminat merasai perkembangan dan warna muzik UNIC sepanjang dua dekad.

“Kami mahu peminat rasa setiap fasa evolusi UNIC, daripada melodi lama yang membentuk identiti kami sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar. 

“Setiap nota adalah kenangan dan setiap lagu membawa mesej,” kata Dr. Fitri Haris, yang menekankan konsert kali ini menonjolkan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan.

Konsert kali ini mahu mengembalikan perjalanan lebih dua dekad UNIC di dalam industri hiburan tanah air.

Dengan gabungan susunan muzik moden dan tradisional serta iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, UNIC menjanjikan sebuah pengalaman yang bukan sekadar ditonton, tetapi dihayati sepenuhnya.

“Kami ingin penonton bukan hanya datang untuk menonton, tetapi benar-benar merasai pengalaman konsert ini daripada hal visual, bunyi, hingga mesej yang kami ingin sampaikan,” ujar Fakhrul Radhi pula.

Untuk itu mereka sangat menitik beratkan persiapan vokal, mental dan fizikal dengan teliti demi memastikan persembahan berada di tahap terbaik.

Konsert ini bakal menghidupkan semula lagu-lagu ikonik seperti ‘Demi Cinta Suci’, ‘Hanya Tuhan Yang Tahu’ dan ‘Ainul Mardhiah’, dengan sentuhan susunan muzik baharu yang segar. 

Selain itu, penonton juga bakal disajikan dengan kejutan istimewa apabila beberapa artis jemputan yang pernah mempunyai kenangan bersama UNIC akan turut serta menghangatkan pentas.

“Insya-Allah, akan ada kejutan istimewa malam itu. Kami hendak cipta satu suasana yang penuh kasih, bukan hanya antara kami dan peminat, tapi juga dengan rakan-rakan artis yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah UNIC,” kongsi Bazli.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer, berkata penganjuran konsert ini lahir daripada rasa hormat terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan dakwah melalui muzik.

“Kami terpanggil untuk merealisasikan konsert ini kerana melihat keikhlasan dan ketekunan UNIC dalam perjuangan mereka. ‘This Is UNIC’bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat,” jelasnya.

Menganggap ini merupakan sejarah baharu setelah lebih 20 tahun berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu bukan hanya untuk mereka sebagai kumpulan, tetapi juga untuk menghidupkan semula keindahan muzik nasyid di pentas arus perdana.

“Kami harap konsert ini jadi lebih daripada sekadar hiburan. Jika ia mampu meniup semangat baharu kepada peminat dan mengangkat semula martabat muzik nasyid, itu sudah cukup bermakna. 

“Kami nak buktikan nasyid masih ada tempat di hati rakyat Malaysia,” kata Bazli yang mengharapkan konsert ini mendapat sambutan baik daripada peminat.

Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket sudah mula dijual pada 17 Oktober lalu melalui www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC.

Related post

Leave a Reply