TWICE Sumbang RM528,000 Juta Untuk Mangsa Tragedi Kebakaran Apartment Hong Kong
Kumpulan K-Pop popular, TWICE menghulurkan sumbangan dan ucapan takziah kepada mangsa tragedi kebakaran yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini.
Menerusi kemas kini di Weibo, JYP Entertainment mengumumkan kumpulan itu telah menyumbang sebanyak 1 juta HKD (RM528,000) kepada World Vision Hong Kong.
Dana tersebut akan digunakan untuk usaha bantuan kecemasan, termasuk menyediakan penempatan sementara, sokongan psikologi serta bantuan pendidikan dan kelangsungan hidup kepada kanak-kanak serta penduduk yang terjejas.
Sementara itu, TWICE dijadualkan mengadakan persembahan di Stadium Kai Tak Hong Kong pada 6 hingga 7 Disember ini.
Berhubung konsert tersebut, JYP berkata: “Kami telah berbincang dengan penganjur, Live Nation, sambil memantau keadaan di sana. Akhirnya, kami memutuskan untuk meneruskan persembahan seperti yang dirancang.
“Keputusan ini dibuat dengan hati yang berat, jadi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mempersiapkan dan mengendalikan konsert dengan sikap yang lebih hormat dan penuh kesedaran,” ujar agensi berkenaan.
JYP turut mengucapkan takziah atas apa yang telah berlaku, khususnya kepada mereka yang terkesan dengan tragedi tersebut.
“Kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mereka yang terkorban dalam insiden yang tidak dijangka ini dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga serta semua yang sedang menderita akibat kebakaran ini.
“Kami benar-benar berharap keadaan akan stabil dan kawasan terjejas pulih secepat mungkin,” ucap mereka.
Sumber: Allkpop
